TUNIS – Satu sistem kerusi roda pintar yang dibina oleh sepasukan jurutera wanita muda Tunisia telah mara ke peringkat akhir dan menerima hadiah pencipta Eropah yang berprestij, menjadi contoh harapan di negara yang terjerumus dalam pelbagai krisis itu.
Projek mereka, Moovobrain, membolehkan pengguna kerusi roda bergerak melalui pilihan pad sentuh, arahan suara, gerak isyarat muka atau, yang paling mengagumkan, set kepala yang mengesan isyarat otak mereka.
Ia telah dimasukkan dalam senarai terpilih daripada lebih 550 pemohon untuk pusingan akhir Hadiah Pencipta Muda, yang dilancarkan oleh Pejabat Paten Eropah (EPO) pada 2021.
Tahun ini menandakan “kali pertama pasukan Tunisia dan Arab mara ke peringkat akhir” pertandingan antarabangsa, kata EPO dalam satu kenyataan.
Pasukan semua wanita itu akan bersaing dengan dua lagi finalis, dari Belanda dan Ukraine, untuk hadiah utama pada 9 Julai di Malta.
Inspirasi untuk aplikasi Moovobrain pertama kali datang daripada pengasas bersama, Souleima Ben Temime, 28, yang bapa saudaranya terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak selepas bahagian atas badannya lumpuh.
“Ada keperluan yang jelas dan mendesak yang saya ketahui,” katanya kepada AFP.
“Saya bercakap mengenainya dengan rakan-rakan saya dan kami memutuskan untuk menggunakan teknologi kesihatan digital … untuk menghasilkan produk yang boleh memberi manfaat kepada ramai orang.”
Empat pencipta berkenaan bertemu di Institut Tinggi Sains Perubatan di Tunis, di mana mereka mula membangunkan prototaip Moovobrain pada 2017, sebelum menubuhkan syarikat pemula teknologi kesihatan dinamakan Gewinner dua tahun kemudian.
Kejayaan antarabangsa pasukan itu datang ketika kegawatan ekonomi dan politik Tunisia yang semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang telah mendorong beribu-ribu rakyat Tunisia untuk mencari kehidupan yang lebih baik di Eropah melalui perjalanan-perjalanan ke luar negara yang berbahaya.
Namun situasi itu tidak melemahkan semangat wanita-wanita muda berkenaan.
Sebaliknya, pengasas bersama Khaoula Ben Ahmed, 28, berharap dengan mara ke peringkat akhir dalam pertandingan Pencipta Muda itu akan mendedahkan lagi pasukan mereka.
“Tidak selalunya mudah untuk meyakinkan pelabur atau pengeluar kerusi roda bahawa penyelesaian kami benar-benar inovatif dan berguna untuk orang yang kurang pergerakan,” katanya.
Bagi mereka, untuk “meminta dipusingkan menghadap televisyen”, apabila mereka “tidak boleh bercakap, tidak lagi mempunyai apa-apa autonomi, boleh menguji kesabaran pada tahap psikologi,” tambah Khaoula.
Di samping Khaoula dan Souleima, ahli-ahli pasukan lain ialah Sirine Ayari, 28, dan Ghofrane Ayari, 27, yang tidak mempunyai kaitan keluarga.
Hadiah Pencipta Muda, yang memberi ganjaran kepada ‘pencipta luar biasa di bawah umur 30 tahun’, menawarkan hadiah pertama sebanyak 20,000 euro (AS$21,600), hadiah kedua sebanyak 10,000 euro dan tempat ketiga sebanyak 5,000 euro.
Pasukan itu berkata, menjadi wanita adalah ‘satu kelebihan’ kerana mereka dapat mengambil bahagian dalam pertandingan-pertandingan untuk jurutera wanita dan menerima pembiayaan khusus.
Lebih 44 peratus jurutera di Tunisia adalah wanita, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan Khaoula berkata, negara itu mempunyai ‘ekosistem yang menggalakkan’ untuk pemula walaupun menghadapi cabaran-cabaran.
Syarikat pemula mereka, Gewinner tidak lama lagi akan menyerahkan empat kerusi roda pertama yang dilengkapi dengan teknologi baharu berkenaan kepada sebuah organisasi untuk orang kurang upaya di Sousse, timur Tunisia. Mereka mengharapkan maklum balas untuk menambah baik produk.
Di peringkat antarabangsa, Gewinner memberi tumpuan kepada Eropah dan telah pun menjalin kerjasama dengan pengeluar Itali dalam jangka masa pendek.
Para pencipta berkenaan mengatakan bahawa walaupun setiap kerusi pintar berharga sekitar 2,000 euro, mereka berharap untuk memastikan teknologi itu boleh diakses oleh seramai mungkin orang, termasuk mereka yang berada di negara-negara kurang
berkemampuan.
“Di Tunisia, kami telah menyediakan 30 unit, bukan dengan idea bahawa pengguna akhir yang akan membayarnya, tetapi organisasi penyokong persatuan yang akan dapat menaja pembelian kerusi atau penyesuaian teknologi kami,” kata Khaoula. – AFP