BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Pasukan Kadet Tentera dari Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) dan Pasukan Kadet Tentera dari Sekolah Menengah Tanjong Maya masing-masing muncul sebagai juara keseluruhan Kategori Lelaki dan Perempuan bagi sekolah-sekolah menengah dan maktab-maktab dalam Perlawanan Merintis Pasukan Kadet Tentera Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab serta Institut Pengajian Tinggi (IPT) Senegara yang diadakan di Hutan Simpan Berakas, baru-baru ini.
Manakala juara keseluruhan bagi institut pengajian tinggi bagi Kategori Lelaki telah dimenangi oleh Pasukan Kadet Tentera Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan bagi Kategori Perempuan dimenangi oleh Pasukan Kadet Tentera dari Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Seramai 300 peserta mewakili 15 buah sekolah menengah dan maktab serta empat dari IPT telah mengambil bahagian dalam perlawanan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan dengan kerjasama Pasukan Kadet Tentera.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang adalah Penolong Pengarah (Bahagian Pentadbiran), Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Nudin bin Haji Mohammad.
Turut hadir Pegawai Pemerintah Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei (ASMDB), Lt. Kol. Haji Mohd Sheh bin Haji Bagul.
Aktiviti perlawanan merintis berkenaan adalah salah satu aktiviti tahunan pasukan kadet tentera yang antara lain bertujuan bagi menguji kebolehan dan kemahiran peserta-peserta dalam membaca peta secara perseorangan dan juga secara berpasukan di samping menguji kecergasan jasmani dan ketahanan mental peserta.