Wednesday, March 19, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasukan keselamatan, kesihatan Sabah terima sumbangan kuih raya

    KOTA KINABALU, 18 MAC – Sebanyak 33 agensi kerajaan, jabatan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyalurkan sumbangan kuih raya kepada 15 pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di Sabah.

    Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sumbangan berkenaan sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan petugas barisan hadapan di negeri ini.

    “Petugas barisan hadapan terutama badan beruniform, pasukan keselamatan dan petugas kesihatan telah melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa mengenal penat lelah untuk menyelamatkan nyawa. 

    “Menjadi lebih bermakna kerana majlis ini diadakan semasa Ramadan,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri kepada anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan hari ini.

    Beliau turut menzahirkan terima kasih kerana pasukan itu sedia membantu Sabah yang dilanda banjir sejak tahun lepas terutama di Kota Marudu, Kota Belud, Telupid, Pitas, Beluran, Lahad Datu, Sandakan, Beaufort, Tongod dan Paitan.

    Beliau berkata maklumat terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan fenomena hujan berterusan bermula hari ini hingga Jumaat ini di Sabah, Sarawak dan Selatan Semenanjung.

    “Selain banjir, bencana kebakaran juga berlaku baru-baru ini di Likas yang mengakibatkan 80 keluarga kehilangan tempat tinggal,” katanya sambil menambah petugas barisan hadapan mempertaruhkan nyawa setiap hari untuk melindungi rakyat dan negeri.

    Sehubungan dengan itu, Hajiji berkata sumbangan berkenaan adalah simbol rakyat Sabah dalam menghargai jasa anggota keselamatan dan petugas kesihatan yang bertugas semasa perayaan dan menjadi motivasi untuk terus memberikan perkhidmatan dengan dedikasi. – Bernama

    Hajiji Noor semasa mendengar penerangan daripada penyumbang kuih muih sempena Aidilfitri di Menara Kinabalu pada 18 Mac. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda