Thursday, March 13, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasukan keselamatan Pakistan bunuh 16 pengganas, selamatkan 104 penumpang

    NEW DELHI, 12 MAC – Pasukan keselamatan Pakistan membunuh 16 pengganas yang menyerang sebuah kereta api yang membawa lebih 400 penumpang dari Quetta di wilayah Balochistan ke Peshawar.

    Kereta api Jaffar Express itu diserang ketika melalui sebuah terowong di daerah Bolan kelmarin.

    Kumpulan pengganas terbabit meletupkan landasan kereta api dan mengambil tebusan, termasuk wanita dan kanak-kanak.

    Kumpulan Tentera Pembebasan Balochistan (BLA) yang diharamkan, mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, menurut laporan media Pakistan. Kira-kira 104 penumpang, termasuk 31 wanita dan 15 kanak-kanak, berjaya diselamatkan, menurut laporan itu.

    Seramai 17 orang yang cedera telah dibawa ke hospital.

    Sebuah kereta api yang membawa keranda kosong ke kubu tentera di Quetta pada 12 Mac. – AFP

    Para pengganas dilaporkan ‘berhubung dengan dalang mereka di luar negara melalui telefon satelit,’ kata satu laporan yang memetik pegawai keselamatan.

    Pasukan keselamatan sedang menjalankan operasi pembersihan bagi menyelamatkan baki tebusan yang tidak diketahui jumlahnya.

    Mereka beroperasi dalam keadaan yang mencabar dan bertindak dengan berhati-hati kerana pengganas menggunakan wanita dan kanak-kanak sebagai perisai manusia, menurut Menteri Negara bagi Hal Ehwal Dalam Negeri Pakistan, Talal Chaudhry, kepada saluran televisyen Geo News.

    Beliau berkata penyerang telah membawa ramai tebusan ke kawasan pergunungan terpencil.

    “Pasukan keselamatan sedang melaksanakan operasi berskala penuh, dan semua penumpang akan diselamatkan tidak lama lagi,” kata Chaudhry. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda