Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasukan keselamatan protes selepas gaji dipotong

    PORT MORESBY, 10 JAN – Isu pertikaian gaji yang berlarutan dalam kalangan pasukan keselamatan Papua New Guinea hari ini telah mencetuskan protes kemarahan di ibu negara, di mana sekumpulan individu membakar kereta polis di luar pejabat perdana menteri.

    Askar, pegawai polis dan kakitangan penjara telah mengadakan protes pada pagi tadi (waktu tempatan), selepas menyedari gaji mereka telah dipotong tanpa penjelasan.

    Bagaimanapun menjelang petang hari ini beberapa kawasan di ibu negara Port Moresby menjadi tidak stabil, dengan klip video di media sosial menunjukkan orang ramai merompak kedai dan polis yang berusaha untuk memulihkan keadaan.

    “Sungguh menyedihkan menyaksikan keadaan berubah seperti ini, ia sangat tidak wajar,” kata Pesuruhjaya Polis, David Manning.

    “Tetapi kami melakukan semua yang kami mampu untuk mengawal keadaan di bandar itu,” tambahnya.

    Imej video memaparkan orang ramai cuba memecahkan rantai di pintu pagar keselamatan yang tinggi di luar pejabat perdana menteri, sebelum akhirnya merobohkannya dari rel.

    Namun kemudian percubaan mereka untuk membakar pos pengawal gagal, sebelum akhirnya membakar sebuah SUV polis putih yang diletakkan di luar perkarangan, seorang wartawan AFP di tempat kejadian berkata.

    Walaupun pasukan keselamatan memulakan demonstrasi, tidak jelas sama ada mereka bertanggungjawab terhadap kekacauan yang berlaku. – AFP

    Orang ramai berlari meninggalkan kedai dengan barangan yang dirompak di tengah-tengah keadaan huru-hara di Port Moresby, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda