KHARTOUM, 4 JAN – Pasukan keselamatan Sudan telah dikerahkan di sekitar Khartoum dan bandar-bandar jiran menjelang protes anti rampasan kuasa yang dirancang, beberapa hari selepas peletakan jawatan perdana menteri awam negara tersebut, kata saksi hari ini.
Jalan-jalan menuju ke ibu pejabat tentera di tengah Khartoum ditutup di tengah-tengah kehadiran ramai polis rusuhan, pasukan separa tentera dan anggota tentera, kata saksi.
Aktivis pro-demokrasi telah meningkatkan gesaan untuk bantahan terhadap rampasan kuasa tentera 25 Oktober yang diketuai oleh jeneral tertinggi, Abdel Fattah al-Burhan, yang menahan perdana menteri ketika itu, Abdalla Hamdok dan menteri-menteri kabinet.
Rampasan kuasa itu telah mencetuskan demonstrasi besar-besaran dan tindakan keras yang setakat ini menyebabkan sekurang-kurangnya 57 maut dan ratusan cedera.
Sekurang-kurangnya 13 wanita telah dirogol semasa rusuhan tersebut.
Pada 21 November, Burhan mengembalikan semula Hamdok dalam perjanjian yang menjanjikan pilihan raya pada pertengahan 2023. Gerakan protes menyelar perjanjian itu sebagai ‘pengkhianatan’ dan telah mengekalkan tekanan jalanan.
Ahad lalu, Hamdok mengumumkan bahawa dia akan berundur, berkata dia telah cuba menghalang negara itu ‘daripada tergelincir ke arah bencana’ tetapi ia kini berada di ‘persimpangan berbahaya yang mengancam kelangsungannya’. – AFP