Oleh Yusrin Junaidi –
SABAH, 18 MEI – Pasukan Lela Ceteria dari Negara Brunei Darussalam berjaya meraih tempat ketiga Kategori Master 45 tahun ke atas dalam Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa anjuran Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Sabah (FCAS) yang berlangsung di Teluk Likas, Sabah.
Pencapaian berkenaan merupakan satu kejayaan yang membanggakan bagi Brunei, yang bersaing dalam kategori antarabangsa bersama pelbagai pasukan dari dalam dan luar negara dan akan bertanding di pusingan terakhir nanti.
Penyertaan pasukan itu dalam Kategori Master 45 Tahun ke atas merupakan yang julung kalinya diadakan dan ia bukan sahaja memperkukuh hubungan serantau melalui sukan dan budaya, malah menjadi medan penting dalam memupuk semangat kesukanan serta memperluas jaringan kerjasama antara negara jiran.
Acara tahunan tersebut yang menjadi tumpuan dalam kalendar pelancongan Sabah turut menarik penyertaan ramai dan sambutan hangat daripada masyarakat tempatan dan pelancong asing.
Pasukan Lela Ceteria menyifatkan penyertaan dan kejayaan tersebut sebagai pengalaman berharga yang akan terus memotivasikan mereka dalam sukan air kompetitif di peringkat antarabangsa.
