Oleh Lyna Mohamad –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Mewakili Brunei Darussalam, Pasukan Lela Cheteria telah muncul sebagai tempat ketiga dalam kategori Master 40 dan ke atas pada peringkat akhir di Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2025 ke-11, yang berlangsung di Sarawak Waterfront.
Seramai 57 pasukan dari 22 negara telah menyertai kejohanan tahun ini, sekali gus menonjolkan kemahiran dan ketahanan dalam salah satu acara sukan air yang paling dinantikan di rantau ini.
Brunei Darussalam telah diwakili oleh lima pasukan iaitu Pasukan Lela Cheteria, Pasukan Kebangsaan Brunei, Pasukan Sungai Bunga, Pasukan Juang dan Pasukan Perahu Naga Daerah Tutong.
Selain meraih podium, Pasukan Lela Cheteria turut mara ke pusingan separuh akhir dalam beberapa kategori lain, termasuk Terbuka 20-Pekayuh, Terbuka 12-Pekayuh, dan Master 40 (Pasukan A).
Majlis penyampaian hadiah turut diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) sempena Malam Apresiasi Regatta Perahu Naga Antarabangsa Sarawak ke-11 dan hadir bagi menyampaikan hadiah dan piala semasa acara berkenaan ialah Presiden Persekutuan Antarabangsa Perahu Naga kepada pengurus Pasukan Lela Cheteria, Pengarah Haji Ibrahim.


