Pasukan Liga-M boleh adakan aksi persahabatan

KUALA LUMPUR, 2 OGOS – Pasukan Liga Malaysia (Liga-M) kini boleh menilai tahap persediaan masing-masing bagi menghadapi baki saingan liga bermula akhir bulan ini, susulan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan kebenaran mengadakan perlawanan persahabatan bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, dalam satu kenyataan hari ini, berkata pasukan Liga Super dan Liga Premier boleh memulakan aksi pemanas badan sebelum Liga-M bersambung pada 26 Ogos ini selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lepas.

Selepas latihan kontak dibenarkan bermula 15-28 Julai, semua pasukan melalui penilaian MFL dalam tempoh bertenang sehingga semalam, sebagai usaha memastikan tiada individu dijangkiti COVID-19 dan tiada laporan daripada pasukan berhubung adanya gelaja wabak itu dalam kalangan pegawai dan pemain.

“Pasukan hanya dibenar untuk mengadakan perlawanan di antara pasukan Liga Super dan Liga Premier 2020 setelah pegawai dan pemain pasukan tersebut telah menjalani ujian swabbing dan disahkan bebas gejala dan mendapat kelulusan MFL atau dengan pasukan yang mereka sudah bertemu di perlawanan peringkat awal sebelum liga ditangguhkan.

“Perlawanan hanya dibenarkan di stadium atau tempat perlawanan sahaja, dan gelanggang perlawanan tersebut hendaklah didaftarkan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Stadium tersebut hendaklah menjalani proses membasmi kuman dan disinfeksi sebelum perlawanan diadakan. Perlawanan itu hendaklah dimainkan tanpa penonton dan hanya pegawai serta pemain pasukan yang berdaftar serta telah menjalani ujian swabbing sahaja dibenarkan berada di dalam stadium atau tempat perlawanan,” katanya.

Ab Ghani berkata beberapa pasukan telah menghantar permohonan dan makluman perlawanan persahabatan, termasuk aksi antara Selangor dan Pulau Pinang, Rabu ini.

Sementara itu, mengenai status Kuching FA, beliau berkata pasukan itu berada dalam keadaan terkawal selepas lima pemain mereka didapati positif COVID-19 berpunca daripada kluster Sentosa. – Bernama