Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasukan MSSSBD menang bergaya

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Pasukan Majlis Sekolah-sekolah Sukan Brunei Darussalam (MSSSBD) Bawah 16 tahun (B16) mengutip mata berharga selepas berjaya mengalahkan Pasukan Sekolah Arab B16 pada persaingan Liga Bola Sepak Remaja HiTune Sport School 2024, di Padang Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), baru-baru ini.

    Kejayaan itu menyaksikan Pasukan MSSSBD B16 mendaki satu tangga untuk memperbaiki kedudukan ketika liga menuju ke puncak persaingan.

    Pada perlawanan itu, Ampuan Mohd Izzul Hasif tidak menunggu lama untuk menembusi gawang Pasukan Sekolah Arab B16 menerusi rembatan kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan pada minit ke-4.

    Namun, Pasukan Sekolah Arab B16 bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi Mohd Fakrullah Saifullah pada minit ke-10 bagi menyamakan kedudukan 1-1.

    Pasukan MSSSBD B16 memperolehi kelebihan jaringan apabila Muhd Aqil Haziq Jaafar berjaya memanfaatkan ruang terhidang dengan menjaringkan gol pada minit akhir babak pertama.

    Pemain-pemain Pasukan MSSSBD B16 bergambar ramai semasa perlawanan tersebut. – GAMBAR SERAHAN LIGA BOLA SEPAK YAKIN

    Sekali lagi, Ampuan Mohd Izzul Hasif menjadi wira buat Pasukan MSSSBD dengan memperdayakan pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan ke gawang Pasukan Sekolah Arab B16 pada minit ke-49.

    Melihat semangat berpasukan yang ditunjukkan, Muhd Aqil Haziq Jaafar terus membantu Pasukan MSSSBD B16 untuk meraih kemenangan bergaya menerusi jaringan pada minit ke-65 sekali gus menamatkan kedudukan jaringan 4-1.

    Jurulatih Pasukan Sekolah Arab B16, Haji Adee Suharde, ketika ditemui telah menerima kekalahan anak-anak buahnya secara positif sambil menyifatkan penyertaan pasukan berkenaan merupakan peluang terbaik untuk menampilkan potensi pemain-pemain.

    “Sekolah Arab mempunyai ramai pemain yang berbakat dan sebilangan bermain untuk kelab-kelab, oleh itu pihak sekolah mengambil kesempatan dan memberi peluang kepada mereka yang tidak mempunyai kelab bagi membentuk satu pasukan untuk mewakili sekolah,” jelasnya.

    Sepanjang perlawanan, beliau turut mengakui sebilangan pemain berjaya menunjukkan potensi yang besar dan perlu digilap secara berterusan sambil berharap kejohanan tersebut akan diteruskan pada masa akan datang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda