NAIROBI, 24 FEB – Pasukan Olimpik Kenya akan memulakan latihan dalam kem gelembung khas awal Mac nanti bagi persediaan Sukan Olimpik Tokyo, pegawai berkata kelmarin.
Kem terus akan bermula pada 2 Mac dan akan menyaksikan atlet diasingkan ke kawasan khusus ketika mereka menjalani latihan, bagi membendung penularan COVID-19.
“Atlet pelari jarak jauh akan ditempatkan dalam kawasan latihan beraltitud tinggi sekitar Eldoret, sementara sukan berpasukan, termasuk ragbi Sevens lelaki dan wanita, bola tampar dan taekwondo akan ditempatkan di stadium Kasarani,” menurut setiausaha lembaga Olimpik Kebangsaan Kenya, Francis Mutuku memberitahu AFP.
“Matlamat kem gelembung ini diadakan adalah bagi mengurangkan jumlah perjalanan dilakukan atlet kembali kepada keluarga mereka dari pusat latihan, dan mengurangkan risiko terdedah kepada pandemik COVID-19.”
Seramai 87 orang atlet lelaki dan wanita Kenya sudah layak untuk Sukan Olimpik Tokyo pada Julai, dengan angka dijangka terus meningkat ketika musim baharu sukan sedang dijalankan.
Kenya berharap untuk membawa 100 orang atlet untuk menyertai sukan yang tertunda dan akan diadakan antara 23 Julai dan 8 Ogos.
Mutuku berkata atlet akan menjalani ujian COVID-19 dengan kerap ketika mereka berada dalam kem, yang ditutup daripada orang ramai. – AFP
