SEOUL, 11 APRIL – Pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Korea Selatan di Lubnan memberi rawatan perubatan kepada lebih 130,000 orang awam, sejak penempatan mereka bermula pada 2007, menurut kenyataan tentera Korea Selatan hari ini, lapor Agensi Berita Yonhap.
Unit Dongmyeong mencapai angka itu kelmarin, apabila pasukan perubatannya terus memberikan perkhidmatan kepada pesakit tempatan di bawah Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) yang ditugaskan mengekalkan keamanan di selatan negara itu.
Menurut Ketua Turus Bersama (JCS), pasukan yang terdiri daripada doktor, doktor gigi dan doktor haiwan, secara rutin melawat lima buah kampung sebanyak dua kali seminggu dan merawat kira-kira 30 orang sehari.
Rokaya Fakieh, individu ke-130,000 yang menerima rawatan menyifatkan khidmat yang diberikan sebagai satu anugerah, menurut kenyataan JCS. – Bernama
