WASHINGTON, 7 NOV – Presiden Donald Trump berkata kelmarin bahawa beliau menjangkakan pasukan penstabilan antarabangsa yang diselaraskan oleh Amerika Syarikat akan berada di lapangan di Gaza ‘tidak lama lagi’, susulan dua tahun perang di wilayah antara Israel dan Hamas.
Pasukan multinasional itu yang kemungkinan besar merangkumi tentera dari Mesir, Qatar, Turki dan Emiriah Arab Bersatu adalah sebahagian daripada rancangan tadbir urus pasca perang oleh Trump untuk Gaza.
Rancangan itu membawa kepada gencatan senjata yang rapuh antara Israel dan kumpulan militan Palestin pada 10 Oktober lalu, tetapi krisis kemanusiaan di Gaza masih belum reda.
“Ia akan berlaku tidak lama lagi. Dan (rancangan di) Gaza berjalan lancar,” kata Trump di majlis Rumah Putih bersama para pemimpin Asia Tengah.
“Awda sudah kurang mendengar banyak masalah dan biar saya beritahu awda, kita sudah ada negara-negara yang telah menjadi sukarelawan jika ada masalah dengan Hamas.”
Pasukan itu sepatutnya melatih polis Palestin di Semenanjung Gaza, dengan sokongan daripada Mesir dan Jordan. Ia juga akan ditugaskan untuk mengamankan kawasan sempadan dan mencegah penyeludupan senjata ke Hamas.
Rabu lalu, AS telah edarkan draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu kepada negara-negara rakan kongsi yang bertujuan untuk memperkukuhkan rancangan Trump, termasuk dengan memberi lampu hijau kepada pasukan antarabangsa.
Utusan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Washington, Mike Waltz, berkongsi draf tersebut dengan 10 ahli Majlis Keselamatan yang dipilih dan beberapa rakan kongsi serantau termasuk Mesir, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Turki menurut satu kenyataan. – AFP


