INEGHEDE, MAGHRIBI, 13 SEPT – Pasukan penyelamat hari ini telah meningkatkan usaha besar-besaran untuk membawa bantuan ke perkampungan pergunungan Maghribi yang musnah ketika peluang semakin tipis untuk mencari mangsa yang terselamat daripada gempa bumi kuat yang mengorbankan 2,900 orang dan menyebabkan ratusan ribu kehilangan tempat tinggal.
Kenderaan yang penuh dengan bekalan telah memasuki jalan gunung yang berliku-liku untuk menghantar makanan dan khemah yang sangat diperlukan kepada mangsa yang terselamat daripada gempa bumi paling dahsyat di negara itu dalam tempoh lebih enam dekad.
Pasukan pencarian masih berada di tempat-tempat runtuhan untuk mencari mangsa yang terselamat.
Maghribi kini sudah melepasi tempoh 72 jam, di mana operasi penyelamatan dianggap paling berpeluang, namun dalam beberapa kes, mangsa terselamat yang ditemui jauh melebihi tempoh tersebut.
“Kami sedang bekerja di banyak tempat,” kata Fahas Abdullah Al Dosanri dari jabatan bomba Qatar, sebahagian daripada usaha bantuan antarabangsa, sambil menambah beberapa kampung masih tidak dapat dicapai melalui jalan raya.
Pihak berkuasa Maghribi melaporkan bahawa pasukan penyelamat sedang membersihkan laluan tanah yang terputus akibat tanah runtuh. – AFP


