Tuesday, December 17, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasukan Petualang Rimba tawan gunung di Sumatera

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Sekumpulan pendaki pengembaraan, dikenali sebagai Pasukan Petualang Rimba, memulakan perjalanan yang menarik untuk menakluki puncak tertinggi di Sumatera iaitu Gunung Kerinci dan Gunung Talang.

    Pasukan berkenaan diketuai oleh Awang Kassim Ibrahim dan Dayang Aida Saidin dengan ahli-ahli pasukan penggemar pendaki gunung anak tempatan yang lain terdiri daripada Hajah Rose, Awang Nabil, Michael, Lenny, Aida J, Pengiran Adi, Awang Ali, Sall, Dayang Zahrah, Awang Areef, Awang Nabil, Dayang Nurul dan Awang Adib.

    Pengembaraan mereka bermula di Gunung Kerinci, gunung berapi aktif tertinggi di Sumatera. Selepas perjalanan sembilan jam yang mencabar melalui beberapa tapak perkhemahan, pasukan itu tiba di tapak perkhemahan mereka.

    Walau bagaimanapun, berikutan hujan lebat dan angin kencang, percubaan mendaki puncak yang dijadualkan sekitar jam 3:30 pagi telah ditangguhkan ke 4:30 pagi.

    Walaupun keadaan cuaca tidak mengizinkan namun pasukan itu tidak berputus asa dan terus bertahan dan mencapai puncak 3,805 meter pada jam 6 pagi.

    Pasukan Petualang Rimba berjaya menawan puncak Gunung Talang.– GAMBAR SERAHAN DAYANG AIDA SAIDIN

    Perjalanan turun dari puncak turut mencabar kerana suasana ribut kencang pada ketika itu.

    Pasukan itu kemudian bergerak ke Gunung Talang di Solok, Sumatera Barat.

    Walaupun laluan yang diredah selama enam jam di gunung setinggi 2,597 meter itu tidak sesukar sebelumnya, percubaan mereka untuk mendaki puncak gunung itu yang dijadualkan pukul 5 pagi terpaksa ditunda ke pukul 9 pagi akibat keadaan cuaca yang ekstrem.

    Laluan yang ditempuhi dipenuhi dengan batu besar serta dilanda hujan lebat dan ribut menjadikan pendakian itu sangat mencabar.

    Namun begitu, melalui kegigihan mereka sepasukan akhirnya berjaya menawan puncak Gunung Talang.

    Menurut Dayang Aida Saidin kepada Media Permata, mendaki Gunung Kerinci dan Gunung Talang menguji fizikal dan mental yang memberikan ganjaran berupa pemandangan yang menakjubkan.

    Tambahnya, pencapaian itu merupakan satu kebanggaan kepada negara dan inspirasi kepada bakal pendaki gunung.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda