SINGAPURA, 19 SEPT – Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura bersama pengendali rel, SMRT dan SBS Transit, akan menubuhkan satu pasukan petugas bagi merangka serta melaksanakan langkah segera untuk meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan rel serta memperkukuh tindak balas bersama terhadap gangguan perkhidmatan.
Sejak Julai, sekurang-kurangnya 15 insiden gangguan dan kelewatan perkhidmatan dilaporkan melibatkan rangkaian MRT dan LRT.
Ketua Eksekutif LTA Ng Lang akan mempengerusikan Pasukan Petugas Kebolehpercayaan Rel yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SMRT Ngien Hoon Ping, CEO Kumpulan SBS Transit Jeffrey Sim serta pakar teknikal daripada sektor rel.
“Pasukan petugas ini akan melaporkan penemuan secara berkala kepada Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow dan mengemukakan syor muktamad menjelang akhir tahun ini,” menurut kenyataan bersama LTA, SMRT dan SBS Transit, hari ini.
Pasukan petugas itu akan meneliti insiden-insiden kebelakangan ini bagi mengenal pasti komponen yang hampir mencapai akhir hayat serta memerlukan penggantian, penaiktarafan atau peningkatan penyelenggaraan.
Selain itu, mereka juga akan melaksanakan audit teknikal menyeluruh ke atas penyelenggaraan dan operasi sistem kritikal, termasuk penilaian keadaan aset, proses penyelenggaraan, prosedur operasi dan lebihan, serta latihan dan kecekapan kakitangan. – Bernama


