Pasukan polo negara terus buru pingat

Oleh Fadhil Yunus di Filipina
Gambar oleh Infofoto

MANILA, 6 DIS – Pasukan Polo Brunei Darussalam tewas kepada pasukan Malaysia dengan jaringan 8-3 dalam perlawanan pusingan awal gol rendah 0-2 di Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-30 di Padang Polo Miguel Romero di Calatagan, Batangas, hari ini.

Berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Qawi dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan mengetuai pasukan Divisyen B yang terdiri daripada kapten Muhammmad Farid Abdullah, Huzaimi bin Haji Mahari dan Idris Sirat.

Pasukan ini menaruh harapan untuk meraih pingat kedua dalam acara ini berikutan kemenangan pasukan Divisyen A yang mengambil bahagian dalam acara gol tinggi 4-6.

Pasukan Polo negara akan menentukan nasib mereka bagi terus melangkah ke pusingan seterusnya pada perlawanan akhir peringkat awal yang akan berlangsung pada Isnin depan bertemu dengan pasukan Filipina, yang ditewaskan oleh pasukan Indonesia dalam perlawanan lain.

Ketika ini pasukan Brunei berada di kedudukan kedua, berkongsi mata dengan Filipina dan hanya dibezakan dengan jumlah jaringan.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menyaksikan perlawanan tersebut.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, YAM Pengiran Muda Abdul Qawi dan YAM Pengiran Muda Bahar ketika berkenan menyaksikan perlawanan tersebut. – Gambar oleh Infofoto
DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ketika berkenan menyaksikan kejohanan tersebut.
Aksi DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ketika perlawanan tersebut.