Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasukan Sarjana, IPT juara Kejohanan Bola Jaring Hari Guru ke-34

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Pasukan Sarjana dan Pasukan IPT masing-masing diumumkan sebagai johan dalam Kategori Beginners dan Kategori Terbuka, Peringkat Akhir Kejohanan Bola Jaring sempena Sambutan Hari Guru ke 34, di Atrium Sekolah Sukan, hari ini.
     
    Di acara itu, Pasukan IPT bukan sahaja berjaya mendapat gelaran johan dalam Kategori Terbuka, malah kumpulan itu juga pulang membawa Piala Rebutan Menteri Pendidikan.
     
    Manakala naib johan dalam kedua-dua kategori itu disandang oleh Pasukan UBD Netters dan Pasukan JPI, sementara tempat ketiga dalam Kategori Beginners dan Kategori Terbuka, masing-masing dimenangi oleh Pasukan Bola Jaring JPKhas dan Pasukan Rouge.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
     
    Acara itu turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemain pertahanan, penyerang dan juga penjaring terbaik dalam kedua-dua kategori.
     
    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati bergambar ramai bersama Pasukan IPT, juara bagi Kategori Terbuka. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Kejohanan itu merupakan salah satu aktiviti sukan dan riadah yang dianjurkan untuk menyemarakkan dan memeriahkan lagi Sambutan Hari Guru ke-34.
     
    Dalam kejohanan yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Beginners dengan penyertaan sebanyak tujuh pasukan dan Kategori Terbuka dengan penyertaan sebanyak 11 pasukan, kejohanan dibukakan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan termasuk tenaga pengajar yang sedang berkhidmat di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) iaitu bagi Jabatan Pengajian Islam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
     
    Antara lain tujuan kejohanan itu adalah untuk menggalakkan warga Kementerian Pendidikan dan KHEU bergiat aktif serta berdaya saing dalam sukan.  
     
    Selain itu, kejohanan itu diharap dapat memupuk semangat harmoni dan silaturahim dalam kalangan kedua-dua kementerian tersebut.
     
    Kejohanan bola jaring itu dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan selaku Jawatankuasa Acara-acara Sukan bagi Sambutan Hari Guru ke-34 dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Brunei Darussalam (BNA).
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda