Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Pasukan Satu dan Pasukan Pirates muncul juara bagi divisyen masing-masing di dalam siri kedua Kejohanan Paintball Brunei 2017, yang berlangsung di Arena Paintball di Kompleks Sukan Jerudong semalam.
Pasukan Satu memenangi Divisyen Terbuka dengan mengatasi beberapa pasukan lain, antaranya Raptors, Leakside Jokerz, Ignite dan Projaque. Sementara Pasukan Pirates pula mendominasi Pasukan Vanquish dan Wabbit-Wabbit untuk muncul juara bagi Divisyen 5.
Dalam perlawanan akhir, Pirates menewaskan Pasukan Vanquish dan tempat ketiga pula disandang oleh Pasukan Wabbit-Wabbit. Manakala dalam Divisyen Terbuka pula menyaksikan Pasukan Satu menewaskan Pasukan Raptor dalam perlawanan akhir diikuti dengan Pasukan Jokerz di tempat ketiga.
Hadir selaku tetamu kehormat di kejohanan itu dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Ketua Pegawai Operasi Perkhidmatan Teknikal Diraja Brunei, Pengiran Haji Maidin bin Pengiran Haji Said, serta dialu-alukan oleh Pengurus Arena Jerudong Paintball, Pengiran Shahiruddin bin Pengiran Haji Tuah.
