Oleh Emmielia Kartiena
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Pasukan Seri Pahlawan Brunei Darussalam, baru-baru ini telah membawa pulang Piala Labuan dalam Pertandingan Tarik Tali Perahu, antara pertandingan yang dianjurkan setiap tahun dalam Cabaran Laut Antarabangsa 2017 (LISC) yang telah diadakan selama 11 hari di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa, Labuan.
Dalam pertandingan tersebut, Pasukan Seri Pahlawan yang terdiri daripada 10 pekayuh lelaki, berjaya memenangi kesemua pusingan dan juga telah memecah rekod masa terpantas dengan catatan masa 00:11:08 saat, menewaskan Pasukan Ganas B, akur di tempat kedua dan Pasukan Ganas A di tempat ketiga dari Wilayah Persekutuan Labuan.
Dengan memenangi pertandingan ini, Pasukan Seri Pahlawan membawa pulang piala kejuaraan, pingat dan wang tunai berjumlah RM2000.
Dalam acara lain pula, Pasukan Seri Pahlawan juga menyertai Perlumbaan Kayak mengelilingi Pulau Labuan sejauh 50km dan meraikan kejayaaan dengan menduduki 10 teratas dalam semua kategori yang disertai iaitu Awang Hassan bin Haji Zainal mendapat tempat keempat dalam Terbuka Perseorangan Lelaki dengan catatan masa 6:09:53 jam, Awang Khairul Anuar bin Abdullah berpasangan dengan Awang Rodi Rotuno bin Abdullah dalam Terbuka Berpasangan Lelaki dengan catatan masa 6:16:51 jam mendapat tempat ketujuh.

Sementara itu dalam Kategori Terbuka Berpasangan Campuran pula, Awang Shahminan bin Ariffin dan Dayang Joanna binti Haji Osman menduduki tempat keempat dengan catatan masa 6:12:11 jam, manakala tempat kelapan disandang oleh Awang Mohd Azizi Shafie bin Haji Khudzairi dan Dayang Hetty Hartini binti Talip dengan catatan masa 6:42:12 jam dan Awang Murni bin Haji Zainal berpasangan dengan Dayang Azlinawati binti Haji Puasa berada tempat kesembilan dengan catatan masa 6:46:58 jam.
Rombongan Pasukan Seri Pahlawan terdiri daripada 16 orang termasuk pengurus, juruteknik dan peserta-peserta.
Perlumbaan Kayak ini merupakan acara antarabangsa yang telah disertai oleh sebanyak 81 peserta yang terdiri daripada rombongan dari Terengganu, Johor, Indonesia, Jepun dan sebagainya.
Pengurus pasukan, Awang Ariffin bin Haji Zainal, yang juga selaku jurulatih Pasukan Seri Pahlawan, amat berbangga atas pencapaian yang ditunjukkan oleh ahli-ahlinya dalam persaingan Cabaran Laut Antarabangsa 2017 (LISC) tersebut.