Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 17 NOV – Pasukan Sekolah Rendah (SR) Sungai Tali muncul sebagai juara dalam Pesta Bola Sepak 2025 yang diadakan di padang bola sepak SR Lumut, baru-baru ini.
Sementara itu, SR Lumut dan SR Ahmad Tajuddin masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga.
Pada tahun ini, empat buah pasukan terdiri daripada SR Lumut, SR Sungai Tali, SR Merangking dan SR Ahmad Tajuddin telah bertanding dalam pesta bola sepak yang dianjurkan oleh SR Lumut sebagai inisiatif tahunan dalam menghimpunkan pemain bola sepak muda dan berbakat dari seluruh Daerah Belait.
Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus menyempurnakan hadiah kepada para pemenang pada pesta tersebut ialah Superintenden 3 Jabatan Sekolah-sekolah, Awang Abdul Wafi Sia bin Abdullah Sia. Beliau dialu-alukan oleh Pengetua SR Lumut, Hajah Mizawati binti Haji Marusin.
Pihak sekolah berkenaan berharap agar pesta bola sepak tahunan itu dapat membantu memupuk lagi semangat setia kawan dan semangat kesukanan melalui perlawanan bola sepak persahabatan, di samping menyediakan peluang kepada para pelajar dan guru untuk mengakhiri tahun akademik mereka dengan cemerlang.





