Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Saingan Liga Perdana Brunei DST 2018/2019 diteruskan lagi dengan menyaksikan pertemuan antara pasukan Tabuan Muda dengan pasukan Seri Wira FC yang berlangsung di Padang Kompleks Sukan Berakas, kelmarin.
Dalam perlawanan itu, pasukan Tabuan Muda berjaya menundukkan pasukan lawan dengan keputusan selesa 3-1.
Jaringan sulung pasukan Tabuan Muda dibuka menerusi Awang Muhd Hadif Aiman bin Haji Adanan pada minit ke-17.
Namun sebelum rehat separuh masa, Awang Hadi Hazwan bin Abdul Latip berjaya menjaringkan gol penyamaan 1-1 buat pasukan Seri Wira FC.
Namun segalanya berubah pada separuh masa kedua apabila Awang Mohd Aisan Aizuddin bin Abdullah Mohd Aiman menjaringkan gol pada minit ke-64 bagi meletakkan pasukan Tabuan Muda di depan pasukan Seri Wira FC dengan keputusan 2-1.
Keadaan bertambah buruk bagi pasukan Seri Wira FC apabila pada minit ke-89, apabila Muhd Syafiq Safiuddin bin Abdullah Shariff berjaya menjaringkan gol ketiga buat pasukan Tabuan Muda.
