Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Pasukan Tarian Singa Persatuan Unity Charity akan mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Kejohanan Tarian Singa Sedunia Genting ke-15 yang akan diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands, Malaysia pada 25 hingga 27 Julai.
Kejohanan antarabangsa berkenaan bakal menyaksikan penyertaan daripada 40 pasukan tarian singa terbaik dunia menjadikan kejohanan berkenaan lebih berprestij dan menyaksikan persaingan tarian singa berskala global.
Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam telah diadakan sebelum pasukan berkenaan berlepas menyertai kejohanan berkenaan, baru-baru ini.
Semasa acara berkenaan, Presiden Persatuan Brunei Unity Charity, Jake Goh Kiat Hing memberikan kata-kata galakan kepada pasukan tarian singa berkenaan supaya memanfaatkan peluang yang ada untuk mengetengahkan kemampuan warisan Brunei dan meningkatkan standard tarian singa tradisional negara di pentas antarabangsa.
Beliau juga mengongsi aspirasi negara untuk menjadi hos kepada Kejohanan Tarian Singa Sedunia di mana wang menyediakan peluang bagi bakat-bakat tempatan untuk menyerlah di gelanggang sendiri serta mempromosikan lagi pertukaran kebudayaan di rantau ini.
Beliau juga mengharapkan kejayaan bagi pasukan tarian singa berkenaan dalam pertandingan tersebut serta untuk kembali ke tanah air dengan selamat.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Pasukan Tarian Singa Persatuan Unity Charity, Master Ong Boon Biau mengongsi keterujaannya untuk sekali lagi mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan setelah beberapa kali pernah mewakili Brunei dalam kejohanan edisi terdahulu serta turut mengharapkan persembahan terbaik daripada pasukan sekali gus membanggakan negara dalam kejohanan berkenaan.
Master Ong turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Unity Charity dan penaja-penaja tempatan di mana sokongan mereka telah membolehkan penyertaan pasukan berkenaan termasuk tajaan pakaian seragam rasmi pasukan oleh Dynamik Sports Brunei.
