Oleh Fadhil Yunus
SRI LANKA, 11 OGOS – Pasukan tenis kebangsaan Negara Brunei Darussalam berjaya menewaskan Yaman 2-1 dalam kejohanan Piala Davis Kumpulan IV Asia/Oceana yang berlangsung di Gelanggang Persatuan Tenis Sri Lanka, Colombo.
Pasukan kebangsaan mencatat kemenangan selesa melalui kapten pasukan, Billy Wong, yang berjaya menewaskan lawannya, Halil Sallam 6-0, 6-1 dalam perlawanan ‘Pool B’.
Sementara itu, pemain tenis kebangsaan, Mohammad Aiman Abdullah tewas di tangan Ghassan Alansi dengan keputusan 6-3, 6-4.
Walau bagaimanapun, Negara Brunei Darussalam mencatat kemenangan bersejarah apabila gandingan Mohammad Aiman dan Billy Wong menewaskan pasangan dari Yaman dengan keputusan perlawanan 6-4, 7-5 pada pusingan penentuan.
“Saya tidak menyangka akan melakar kejayaan dalam kejohanan Piala Davis,” kata Billy Wong.
“Kali terakhir saya menyertai Piala Davis adalah ketika saya berusia 19 tahun dan sejak itu saya jarang mengikuti sebarang perlawanan. Oleh itu, untuk mengekalkan fokus dan tahap tumpuan sepanjang perlawanan agak mencabar,” tambahnya.
Pasukan tenis kebangsaan Negara Brunei Darussalam akan bertemu dengan pasukan Maldives dalam perlawanan lelaki berpasukan.
Pasukan kebangsaan terdiri daripada Billy Wong, Mohammad Aiman, Gaven Lim, Lim Chun Peng dan Awangku Ahmad Dasuqi bin Pengiran Haji Sulaiman.
