Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Pasukan Tutong Basketball mencatat kemenangan 101-88 ke atas Pasukan Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA) dalam kejohanan Liga Bola Keranjang Kebangsaan 5.11 yang berlangsung di Gelanggang BBA di Batu Bersurat hari ini.
Pasukan BBA mendahului perlawanan pada separuh pertama perlawanan ketika kapten pasukan, Chong Ching Poh membantu pasukannya mengungguli 10 mata setelah melakukan jaringan tiga mata.
Pasukan Tutong Basketball segera bertindak balas ketika kapten pasukannya, Onn Jen Hao memimpin kebangkitan semula sebelum jaringan tiga matanya membantu merapatkan jurang.
Lester Teo dari Tutong Basketball melakukan jaringan tiga mata untuk merapatkan jurang enam mata di belakang Pasukan BBA pada separuh pertama perlawanan.
Tutong Basketball beraksi hebat dengan melakukan hantaran jauh pada awal separuh kedua perlawanan yang memberi manfaat kepada penjaring.

Dengan Pasukan Tutong Basketball mengancam untuk memperluas kedudukan mereka lebih jauh, Kenny Lim dari Pasukan BBA berusaha membantu pasukannya dengan beberapa siri percubaan.
Namun, Pasukan Tutong Basketball terus memimpin lebih jauh dengan Khoo Chin Kai membantu pasukannya selesa dengan mendahului 10 mata.
Sementara itu, Pasukan Easyway Basketball mencatat kemenangan besar 128-47 ke atas Persatuan Bola Keranjang Daerah Belait (BDBA) semalam.
Kemenangan kelima berturut-turut mereka, menantikan pertembungan di antara Pasukan Yi Nation V2 yang tidak pernah kalah pada 2 Mei ini.
Pemain Easyway Basketball, Andy Sim memimpin pasukan dengan menjaringkan 28 mata sementara pemain bawah 23 tahun, Jake Chong menjaringkan 22 mata manakala Devon Lim berjaya menjaringkan 18 mata dan Zainul Hussin pula menyumbang 16 mata.
Pesaing gelaran Pasukan Yi’s Nation V2 sebelum ini telah mengalahkan Pasukan 409, 86-69.
Perlawanan diteruskan dengan Pasukan Yi’s Nation menentang Pasukan Ong Sum Ping sementara Bandar Rocket akan menentang Pasukan BDBA.