Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasukan WHO kunjungi pasar Wuhan

    WUHAN, CHINA, 31 JAN – Sepasukan pakar WHO yang menyiasat asal usul wabak COVID-19 hari ini mengunjungi sebuah pasar di Wuhan, lokasi pertama kluster jangkitan dilaporkan muncul setahun lalu, dengan salah seorang anggota mengongsikan dalam Twitter yang lawatan itu ‘penting’ untuk memahami virus tersebut.

    Anggota kumpulan tiba di pasar makanan laut Huanan – yang telah ditutup sejak Januari tahun lalu – memandu masuk ke premis yang disekat itu ketika para pengawal segera menyekat yang lain daripada memasukinya, menurut wartawan AFP di tempat kejadian.

    Misi itu yang ditangguhkan oleh China dan dibebani dengan kepentingan politik telah mendapat kuasa untuk mengenal pasti bagaimana virus itu boleh menular daripada haiwan kepada manusia.

    Namun dengan elemen kerja luar lawatan masih di peringkat awal, para pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyangkal jangkaan mengenai penemuan sumber virus yang telah membunuh lebih dua juta orang dan menjejaskan ekonomi global.

    Hari ini, pasukan WHO mengunjungi pasar Huanan dan gedung borong lain, sebagai sebahagian daripada lawatan panjang yang dipantau rapat oleh pihak berkuasa China.

    Anggota WHO menyiasat asal usul koronavirus dengan melawat ke pasar borong makanan laut Huanan di Wuhan pada 31 Januari. – AFP

    Anggota pasukan, Peter Daszak menggambarkan jelajah itu dalam Twitter sebagai ‘tapak lawatan sangat penting’, menambah pasukan itu sudah ‘bertemu dengan kakitangan utama di kedua-dua pasar dan bertanya soalan untuk memahami lebih mendalam mengenai faktor-faktor yang melibatkan kemunculan COVID-19’.

    Meskipun faktanya sudah setahun berlalu sejak wabak itu ada di sana, Daszak berkata bercakap dengan kakitangan dan melihat susun atur pasar Huanan adalah ‘sangat informatif’.

    Lawatan itu ‘penting bagi pasukan bersepadu kami untuk memahami epidemiologi COVID ketika ia bermula dan menular pada hujung 2019’, katanya dalam Twitter.

    Pakar-pakar tidak mahu menjawab sebarang soalan daripada para wartawan dan anggota pasukan hanya mengangkat bahu dan menaikkan cermin kereta apabila ditanya tentang jangkaan mereka semasa lawatan itu.

    Kakitangan keselamatan mengarahkan wartawan di luar untuk pergi dari tempat tersebut selain turut menggegar tangga mudah alih yang digunakan seorang wartawan untuk mengambil tangkapan gambar yang lebih baik. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda