Oleh James Kon –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Pasukan wusyu Brunei Darussalam berjaya meraih tujuh pingat emas dan satu pingat perak untuk menamatkan kempen mereka pada Kejohanan Wusyu China-ASEAN pertama yang berlangsung di Gimnasium Universiti Nantong di China, baru-baru ini.
Pada hari terakhir pertandingan, atlet wusyu Brunei, Samuel Ong Yong Jun menambah pungutan pingat emas Brunei dengan menduduki tempat pertama dalam acara TaijiJian lelaki, manakala Lim Mae Qi meraih pingat emas dalam acara Nanquan wanita dan Hannah Tan Zi Lin meraih pingat emas dalam kategori Jianshu remaja perempuan.
Manakala Lim Wanxin meraih pingat perak dalam acara NanQuan wanita.
Menurut jurulatih Lihui, “Atlet muda kami telah menunjukkan kemahiran dan keyakinan mereka dalam pertandingan ini. Saya berbangga dengan pencapaian mereka. Mereka akan menjadi generasi pelapis wusyu yang akan meraih pingat untuk Brunei.”
Beliau menambah, “Kami akan terus membangunkan dan melatih atlet wusyu muda kami untuk membawa lebih banyak kejayaan kepada negara. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta Persekutuan Wusyu Brunei atas sokongan padu mereka.”
Pertandingan itu dianjurkan bersama oleh Persekutuan Wushu China-ASEAN, Pentadbiran Am Sukan Pusat Pengurusan Sukan Wushu China dan Persatuan Wusyu China, dengan kerajaan perbandaran Nantong sebagai penyokong utama.