Monday, December 23, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Patuhi garis panduan semasa acara hari keputeraan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Orang ramai yang hadir ke acara-acara dan perayaan sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-75 tahun, perlu mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan dan mengimbas kod QR di tempat yang disediakan.

    Memakai penutup mulut dan hidung adalah digalakkan bagi mereka yang berisiko tinggi mendapat jangkitan seperti warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

    Perkara itu ditekankan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin semasa Sidang Media sempena Sambutan Hari Keputeraan Baginda ke-75 Tahun yang berlangsung di Bangunan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) di ibu negara, hari ini.

    Hadir pada sidang media tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-75 bagi Tahun 2021, Penolong Kanan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Dato Paduka Awang Razali bin Haji Badar, dan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.

    Turut menyertai dalam sidang media itu, Pengarah Keanggotaan, Leftenen Kolonel Muhammad Wata bin Abdullah Awat selaku wakil pemerintah ABDB dan Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas, Pasukan Polis Diraja Brunei, Penguasa Kanan Polis Pengiran Haji Abdul Salam bin Pengiran Haji Abdul Ghani. Haji Maswadi turut mengingatkan kepada orang ramai untuk tidak pergi ke tempat yang sesak.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar dan Dato Paduka Awang Razali semasa menghadiri sidang media mengenai garis panduan sempena hari keputeraan tersebut.

    “Kementerian Kesihatan memaklumkan hanya jemputan dan orang ramai yang sudah menerima sekurangnya satu dos vaksin COVID-19 saja dibenarkan hadir ke acara keberangkatan”, tambahnya. Petugas akan memeriksa status vaksinasi orang-orang yang hadir melalui aplikasi BruHealth di telefon bimbit masing-masing atau buku vaksinasi yang diberikan semasa mendapatkan suntikan.

    Beliau turut mengingatkan pengendali makan di gerai perayaan dan orang ramai untuk sentiasa menjaga kebersihan diri dan menjaga kebersihan di tempat perayaan. Manakala orang ramai termasuk pengendali makanan dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin sebaik saja Fasa 3 Program Vaksinasi Kebangsaan dibukakan nanti.

    Sementara itu, Pengiran Haji Abdul Salam pula mengongsikan mengenai kawalan lalu lintas sepanjang acara perayaan yang mana beliau berkata “Orang ramai hendaklah mengikuti arahan anggota polis yang bertugas mengawal lalu lintas dalam melancarkan laluan jalan raya disamping pengguna jalan raya juga hendaklah mengetahui laluan yang hendak digunakan”, jelasnya.

    Jemputan dan orang ramai juga disarankan untuk datang lebih awal bagi mengelakkan daripada kesesakan lalu lintas, meletakkan kenderaan di tempat yang dikhaskan atau dibenarkan saja dan mengambil kira supaya tidak akan menjejaskan mana-mana laluan kenderaan kecemasan.

    “Di samping itu, penjaja juga tidak dibenarkan menjaja di tepi jalan yang boleh menghalang laluan dan hendaklah mematuhi syarat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa”, tegasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda