Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Istiadat Pembukaan Rasmi, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN), sesungguhnya amat bernas dan mengandungi banyak nasihat dan panduan bagi ahli-ahli MMN sekalian, dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh ikhlas, dedikasi dan komitmen.
“Sesungguhnya Baginda menaruh harapan yang tinggi agar ahli-ahli MMN memainkan peranan dalam membahaskan perkara-perkara utama termasuk memberikan maklum balas terhadap setiap dasar kerajaan supaya benar-benar menghasilkan impak positif terhadap kesejahteraan rakyat.
“Baginda juga melahirkan harapan agar Persidangan MMN akan terus berunding dengan jujur, berfikiran kreatif dan bertindak strategik.”
Oleh itu, ahli-ahli MMN diharap akan untuk dapat berganding bahu dan menjadikan Persidangan MMN berkenaan sebagai wadah untuk melahirkan fikiran yang membina dan positif dalam sama-sama membawa pembangunan dan kemajuan kepada negara demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.
Perkara itu dinyatakan Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dalam ucapannya pada Hari Kedua Persidangan MMN yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

“Kita menjunjung setinggi-tingginya kepimpinan, kewibawaan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sentiasa mengambil berat dan mengikut perkembangan MMN.”
Dalam hal itu, Yang Berhormat Pehin menyatakan Baginda Sultan telah memperkenankan bagi Persidangan MMN ini, untuk diadakan dua kali setahun bermula pada tahun ini.
“Dengan pengemaskinian atas prosedur dan proses kerja menurut Peraturan-peraturan Mesyuarat atau Standing Orders bagi setiap ahli untuk mempraktikkan sepenuhnya.
“Perubahan ini diharapkan akan mengukuhkan lagi keberkesanan persidangan melalui perbincangan yang lebih teratur, fokus dan berkesinambungan.”
Sewajarnya peraturan-peraturan mesyuarat berkenaan, tambah Yang Berhormat Pehin, harus dihormati dan dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak yang berkenaan bagi menjaga keluhuran dan kemuliaan MMN sebagai wadah penting bagi perkongsian pandangan antara pihak kerajaan dan rakyat di negara ini.
“Dalam hal yang berkaitan, kita juga menjunjung dan menyanjung setinggi pandangan berwawasan Baginda yang melihat akan keperluan bagi penggubalan kod etika bagi ahli-ahli MMN. Ini setentunya akan mengukuhkan lagi profesionalisme ahli-ahli MMN dan meningkatkan integriti MMN sebagai institusi yang kukuh.”
Baginda Sultan juga telah bertitah akan beberapa perkara yang berkaitan agenda pembangunan negara di mana Baginda telah memperkenankan bagi pengemaskinian dasar caj perkhidmatan yang sedia ada bagi penduduk tetap yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan untuk diberikan kemudahan perkhidmatan kesihatan seperti mana yang diberikan kepada warganegara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Pehin berkata, “Ini jelas mencerminkan keprihatinan dan pemedulian tinggi Baginda yang senantiasa mengambil berat terhadap kesejahteraan kebajikan rakyat dan juga penduduk negara ini.”