Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Patuhi peraturan, jaga nama baik negara

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MEI – Semua pihak diseru untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi termasuk penggunaan visa haji yang sah, dengan Jabatan Urusan Haji (JUH), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) merupakan satu-satunya pihak yang berautoriti mengeluarkan visa haji di negara ini.

    Pematuhan peraturan berkenaan adalah penting dalam menjaga nama baik Negara Brunei Darussalam serta memastikan pengurusan jemaah haji negara sentiasa berada pada tahap yang tertinggi dan tidak terjejas pada masa akan datang.

    Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, semasa Majlis Doa Selamat dan Ramah Mesra Bersama Bakal Jemaah Haji di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
    Beliau hadir di majlis tersebut selaku tetamu kehormat bersama isteri.

    Yang Berhormat Pehin juga menyentuh mengenai peraturan yang telah diketatkan oleh kerajaan Arab Saudi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, iaitu kemasukan warga asing ke Arab Saudi dalam usaha mengawal kemasukan jemaah tanpa menggunakan visa haji yang sah. Usaha itu bertujuan untuk memastikan keselamatan, kemaslahatan dan kebajikan jemaah haji sentiasa terjaga, mengelakkan kepadatan yang berlebihan dan manasik haji dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

    “Kerajaan Arab Saudi sangat serius dalam perkara ini dan akan mengenakan tindakan-tindakan bagi sesiapa yang didapati mengerjakan haji tanpa menggunakan visa haji yang sah iaitu denda sehingga SAR20,000 dan diusir dari Arab Saudi dan ditegah masuk ke Arab Saudi bagi tempoh 10 tahun,” tekan Yang Berhormat Pehin.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin beramah mesra bersama bakal jemaah haji pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama beramah mesra bersama bakal jemaah haji wanita. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara bakal jemaah haji yang hadir pada Majlis Doa Selamat itu. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara bakal jemaah haji wanita semasa menghadiri Majlis Doa Selamat dan Ramah Mesra Bersama Bakal Jemaah Haji di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Selain itu, beliau turut mengongsikan bahawa KHEU sangat komited dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memastikan semua pihak mematuhi peraturan dan larangan yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan Arab Saudi.

    Dalam hubungan ini, Yang Berhormat Pehin juga mengingatkan kepada rakyat dan penduduk serta syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan haji di negara ini untuk sentiasa mematuhi semua peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi, antaranya melaksanakan ibadat haji dengan visa haji yang sah, semua pergerakan jemaah haji di Arab Saudi mengikut jadual waktu yang ditentukan, sentiasa memakai kad Nusuk, iaitu kad pengenalan diri jemaah haji yang disediakan oleh Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi di mana sahaja jemaah haji berada dan pada bila-bila masa bagi memudahkan urusan-urusan pemeriksaan dijalankan oleh pihak berkuasa kerajaan Arab Saudi dan juga urusan perjalanan masuk ke Mashaer (Arafah dan Mina) dan Masjidil Haram serta masuk ke Raudhah dengan permit yang sah.

    Selain itu, katanya, adalah penting semua jemaah mematuhi peraturan dan larangan kerajaan Arab Saudi ini demi menjaga imej negara agar tidak tercemar dan mengekalkan reputasi pengurusan jemaah haji negara yang diketahui patuh atas semua peraturan-peraturan yang ditetapkan.

    Di samping itu, bagi memastikan pengurusan haji di masa akan datang tidak terjejas dan juga mengelakkan keistimewaan-keistimewaan yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi bagi Negara Brunei Darussalam seperti penggunaan visa pelancong Arab Saudi ditarik balik.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassandan isteri; Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Kerajaan Arab Saudi di Negara Brunei Darussalam, Hani Yahya Maghrabi; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan isteri; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani dan isteri; serta pegawai-pegawai kanan KHEU, pengarah urusan dan wakil-wakil syarikat pengendali perkhidmatan haji bagi musim haji 1446H/2025M.

    Bakal jemaah haji negara pada musim haji tahun ini dijadualkan bertolak ke Tanah Suci dalam empat penerbangan iaitu bermula 15 hingga 18 Mei nanti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda