Patuhi SOP, daftar masuk lebih awal di LTAB

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Orang ramai yang akan membuat penerbangan ke London, United Kingdom pada 11 dan 25 September ini disarankan untuk sentiasa mematuhi prosedur-prosedur yang telah ditetapkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB).

Jabatan Penerbangan Awam dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, menyatakan bahawa dalam sama-sama melaksanakan tanggungjawab membudayakan langkah-langkah pencegahan termasuk mengamalkan penjarakan fizikal dan mematuhi larangan perkumpulan ramai seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, jabatan telah mengambil inisiatif dengan menyediakan perkhidmatan advance check-in sehari sebelum penerbangan.

Kaunter perkhidmatan advance check-in bagi penerbangan BI003 ke London yang dijadualkan berlepas pada 11 September, akan dibuka 10 September dari pukul 12 tengah hari hingga 2:30 petang dan dari 7 malam hingga 10 malam.

Bagi penerbangan BI003 ke London yang dijadualkan berlepas pada 25 September, advance check-in adalah pada 24 September dari pukul 12 tengah hari hingga 2 petang dan 7 malam hingga 10 malam.

Sementara itu, merujuk kepada siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerbangan Awam pada 4 September lalu, jabatan berkenaan juga menekankan bahawa semua penumpang yang akan berlepas dalam penerbangan itu, sama ada dalam kumpulan atau individu, hanya perlu menggunakan prosedur drop-off sahaja.

Penuntut-penuntut yang mengikuti penerbangan itu juga disarankan untuk mengikut apa jua nasihat yang dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan mengenai tatacara drop-off dan berlepas. Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai tatacara drop-off dan berlepas bagi penuntut-penuntut boleh berhubung melalui e-mel [email protected] atau talian 2380019.

Penumpang yang berlepas juga diminta memuat turun aplikasi BruHealth dan mengimbas kod QR yang telah disediakan sebelum memasuki LTAB.

Penumpang yang tidak dapat memuat turun aplikasi BruHealth adalah dikehendaki untuk mengisi maklumat peribadi mereka dalam buku rekod yang disediakan dan menunjukkan dokumen perjalanan serta Sijil Ujian PCR COVID-19 negatif (jika diperlukan).

Jabatan Penerbangan Awam dalam kenyataannya lagi mengucapkan terima kasih atas kerjasama orang ramai dalam sama-sama mematuhi langkah-langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 di LTAB.