Patuhi tatacara kuarantin dalam rumah

Oleh Sim Y. H.

Pesakit yang didiagnosis dengan COVID-19 di negara ini, namun dalam keadaan yang sihat tanpa mengalami sebarang gejala teruk selepas seminggu dibenarkan untuk keluar dari hospital, pusat rawatan kerajaan atau pusat kuarantin.

Namun begitu, mereka perlu meneruskan tempoh kuarantin mereka di kediaman mereka sendiri atau di kemudahan yang ditetapkan jika mereka telah sembuh dan dalam keadaan stabil, mereka tidak mempunyai gejala jangkitan yang baharu serta keputusan ujian swab mereka menunjukkan bahawa mereka tidak akan menjangkiti orang lain.

Bagi mereka yang dibenarkan untuk keluar, hanya seorang ahli keluarga yang mempunyai kod merah atau di bawah kuarantin di dalam tempoh yang sama adalah dibenarkan untuk mengambil dan membawa pesakit itu pulang tanpa membuat sebarang perhentian semasa perjalanan mereka.

Ahli keluarga berkenaan adalah tidak dibenarkan untuk keluar dari kenderaan apabila mengambil pesakit itu dengan butiran peribadi dan nombor plat lesen kenderaan perlu dihantar sebelum mengambil pesakit itu kepada pihak berkuasa yang relevan di hospital, pusat rawatan kerajaan serta pusat-pusat kuarantin.

Sementara itu, jika pesakit yang dibenarkan keluar tidak mempunyai ahli keluarga untuk mengambilnya, Kementerian Kesihatan akan membantu dalam menghantar pesakit itu pulang ke rumah jika perlu.

Pesakit juga dinasihatkan untuk mengehadkan bersosial bersama ahli keluarga dan ahli-ahli rumah mereka yang lain.
Pesakit COVID-19 yang dibenarkan pulang selepas sembuh dalam masa seminggu adalah dikehendaki untuk meneruskan tempoh kuarantin mereka di kediaman mereka sendiri atau di kemudahan yang disediakan.
Pesakit harus ingat untuk kerap mencuci tangan dengan sabun dan air selepas menggunakan tandas.
Pesakit yang mengambil ubat, mereka harus terus mengambil ubat yang telah ditetapkan oleh doktor mereka.

Bilik bersesuaian

Maklumat tersebut dikongsi oleh Kementerian Kesihatan melalui kenyataan soalan lazim berkenaan dengan pesakit COVID-19 selepas dibenarkan pulang atau keluar dari hospital, pusat rawatan atau pusat kuarantin.

Kenyataan menjelaskan lanjut jika pesakit tidak mempunyai bilik yang berasingan atau bilik yang bersesuaian bagi menjalani kuarantin, pesakit itu akan ditempatkan di pusat-pusat kuarantin yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan selaras dengan Bab 204, Akta Penyakit Berjangkit.

Para pesakit yang dibenarkan pulang ke rumah memerlukan bilik mereka sendiri yang berasingan serta perlu terus berada di dalam rumah.

Mereka adalah dilarang untuk meninggalkan rumah sehingga berakhirnya tempoh kuarantin dengan pesakit perlu terus memantau kesihatan harian diri mereka.

Para pesakit dibenarkan untuk keluar dari bilik dalam rumah mereka tetapi dinasihatkan untuk mengehadkan pergerakan mereka di luar bilik.

Pesakit adalah juga dinasihatkan untuk mengehadkan bersosial dengan ahli keluarga dan ahli-ahli rumah mereka yang lain.

Pada masa yang sama, pesakit mesti sentiasa memakai pelitup muka apabila mereka berada di luar bilik dan mereka adalah dilarang untuk berjabat tangan atau bergaul dengan ahli-ahli keluarga mereka yang lain.

Kenyataan menerangkan pesakit boleh berkongsi bilik mandi dan tandas dengan ahli keluarga atau ahli kediaman mereka tetapi mereka harus memastikan bahawa bilik mandi dan tandas berkenaan mempunyai pengudaraan yang baik di mana tingkap perlu dibuka beberapa jam setiap hari.

Tatacara laksana SOP di rumah

Pesakit harus ingat untuk kerap mencuci tangan dengan sabun dan air selepas menggunakan tandas atau jika tangan mereka kelihatan kotor, menggunakan kertas tisu atau serbet pakai buang untuk mengeringkan tangan atau tuala yang khusus dan menggantikannya jika ia basah serta untuk membersihkan bilik mandi, lantai dan tandas menggunakan bahan disinfektan seperti Clorox selepas setiap kali penggunaan.

Di samping itu, pesakit juga boleh menggunakan kemudahan berkongsi di rumah seperti dapur dengan ahli keluarga mereka yang lain di dalam rumah yang sama tetapi mereka harus mengambil maklum untuk mencuci tangan sebelum dan selepas menyediakan makanan serta sebelum dan selepas makan, membersihkan kesemua permukaan di dapur dan perabot selepas digunakan dengan disinfektan kediaman biasa seperti Clorox atau Dettol.

Mereka juga perlu menggelakkan daripada berkongsi peralatan makan dan minum serta mencuci piring, mangkuk, sudu, garpu, gelas dan cawan sendiri menggunakan cecair pencuci dan air, tidak bercampur dengan ahli keluarga atau ahli rumah yang lain apabila berada di dalam dapur serta memastikan dapur berkenaan mempunyai pengudaraan yang baik.

Para pesakit harus membuang barangan seperti tisu, pelitup muka dan sisa pepejal dalam beg plastik yang berasingan sebelum membuangnya ke dalam tong sampah, mereka perlu mengutip semua pakaian dan barang dipakai serta meletakkannya pada satu tempat.

Pakaian yang sudah dipakai, cadar, selimut dan tuala perlu dicuci secara berasingan dengan menggunakan cecair pencuci pakaian dan air selepas tempoh kuarantin berakhir.

Mereka juga dinasihatkan untuk kerap membersihkan permukaan meja, katil dan perabot di dalam bilik mereka dengan menggunakan cecair disinfektan rumah yang biasa seperti Clorox atau Dettol.

Ubat dan perjanjian

Sementara itu, bagi pesakit yang mengambil ubat, mereka harus terus mengambil ubat mereka yang telah ditetapkan oleh doktor mereka.

Jika pesakit itu mempunyai temu janji bagi ujian darah atau untuk berjumpa doktor, mereka dinasihatkan untuk mengubah tarikh temu janji kepada satu tarikh yang lain dengan menghubungi Talian Kesihatan 148, 8123812 atau 8123819.

Manakala itu, bagi pesakit yang merasa resah atau stres dan memerlukan nasihat berhubung dengan kesihatan mental mereka, mereka boleh menghubungi Talian Harapan 145 di mana talian itu beroperasi Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 11 malam serta pada cuti awam dari pukul 10 pagi hingga 4 petang.

Semasa tempoh kuarantin berkenaan, jika pesakit mengalami sebagai gejala seperti sesak nafas, demam berpanjangan atau menggigil, batuk yang menjadi teruk dan sakit dada, mereka boleh menghubungi Talian Kesihatan 148, 8123812 atau 8123819.

Selepas tempoh kuarantin tamat, pesakit adalah dibenarkan untuk menjalani aktiviti harian mereka seperti biasa menurut peraturan dan undang-undang semasa.