Patung mainan bawa keceriaan kepada kanak-kanak miskin

CARACAS – Judith, seorang moyang perempuan berusia 90 tahun di Venezuela, memeriksa anak patung di tangannya dengan teliti sebelum mencari lubang pada barang mainan tersebut.

Yang ini memerlukan pembedahan,” ujarnya, sambil menambah “kami akan menjahitnya di sini.”

Judith ialah salah seorang daripada 40 anggota sukarelawan yang memberi bantuan mainan di sebuah hospital.

Sejak ditubuhkan pada 2017, hospital itu telah menghantar 30,000 barang mainan yang dikitar semula ke sekolah-sekolah dan pertubuhan di kawasan miskin.

Ia beroperasi di kediaman pengasas Lilian Gluck, 63, yang menerima beratus-ratus barang mainan seminggu untuk dibaiki di Caracas.

Anggota sukarelawan menyusun kotak-kotak yang mengandungi patung mainan di Caracas.
– AFP
Seorang budak perempuan bermain dengan anak patung sambil mendengar ucapan daripada presiden El Hospital de Peluches di sekolah rendah Corazon de Maria di Petare, Caracas. – AFP
Seorang pekerja dari El Hospital de Peluches ketika membaiki anak patung di Caracas.
– AFP

Patung mainan kelihatan di gudang El Hospital de Peluches, di mana patung terpakai dibaiki dan dibersihkan untuk diagih kepada kanak-kanak miskin di Caracas. – AFP

Tugas pertama adalah mengasingkan dan mengkategorikan patung mainan: Barbie, haiwan, Mickey Mouse, barang mainan anak damit dan sebagainya.

“Hospital patung mainan ini beroperasi sama seperti sebuah hospital, pesakit masuk dari jalan raya,” kata Gluck.

“Pesakit berkenaan dijahit, dicuci, dibaiki, sekiranya mata ‘mereka’ hilang, kami akan memberikan ia mata, rambutnya disikat dan diberikan reben cantik dan sekeping kad dengan mesej yang amat memberangsangkan untuk menjaga ‘mereka’ dan memberikan patung mainan berkenaan sebagai hadiah kepada kanak-kanak lain apabila mereka membesar.”

Dalam sebuah bilik, lebih daripada 300 patung mainan yang sedang menunggu untuk dibaiki.

Di bilik bengkel pula, anggota sukarelawan sedang membahagi-bahagikan tugas masing-masing.

Ada di antaranya mencuci barang mainan dan menjahitnya dengan teliti sementara yang lainnya mengecat patung yang rosak.

Terdapat juga tukang jahit yang menjahit pakaian kecil, yang merupakan salah satu daripada tugas kegemaran Judith.

“Saya suka melihat mereka (kanak-kanak) apabila kami tiba dan mereka tahu mereka akan mendapatkan satu patung mainan. Awda tidak dapat membayangkan kegembiraan yang terpamer di wajah dan mata mereka. Ia benar-benar menyeronokkan, dan ia adalah apa yang diperlukan mereka,” ujarnya. Setiap hadiah barang mainan dibungkus dengan teliti. Setiap aspek pembungkusan adalah penting, menurut Gluck, yang percaya dia membawa maruah kepada kanak-kanak dengan memberikan mereka barang mainan dalam keadaan baik.

Di sebuah negara di mana 76 peratus daripada populasi hidup dalam keadaan amat miskin dan melarat, menurut Universiti Katolik Andres Bello, Gluck percaya apa yang dilakukannya adalah penting sama seperti membantu golongan miskin.

“Kami menyokong dan menemani ramai orang yang membawa makanan, tetapi kami tidak boleh bersifat terlalu remeh. Di negara ini, orang perlu terus menjalankan aktiviti menyeronokkan,” katanya. Pakar pediatrik Maria Jose Rodriguez mula menjalankan kerja-kerja sukarelawan dengan persatuan itu selepas pesakit di kliniknya menerima sumbangan.

“Jelasnya, awda tidak akan memulihkan seorang kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan zat dengan memberikannya barang mainan, tetapi aktiviti mainan adalah keperluan asas dan kanak-kanak mempunyai hak untuk bermain,” kata wanita berusia 47 tahun itu.

Di sebuah sekolah rendah di Petare, kawasan setinggan terbesar di negara itu, Elias Barazarte, 10 tahun, baru sahaja me nerima barang mainan bersama satu beg, sekotak krayon dan beberapa gula-gula.

“Tidak kiralah barang mainan itu merupakan patung yang dikitar semula asalkan awda boleh menggunakannya dan bermain dengannya,” katanya dengan gembira.

Satu kad yang dilekat pada barang mainan itu berbunyi: “Hai, saya adalah barang mainan baharu awda. Saya ialah barang mainan berpengalaman kerana saya telah pun bermain dengan seorang kanak-kanak lain. Sayangilah saya dan jaga saya dan saya akan melakukan yang sama dengan awda, dan apabila awda sudah besar, berikanlah saya kepada budak lain yang akan menyayangi saya sama seperti awda.”

Pengarah sekolah Mariligia Moreno percaya wujudnya elemen sentimental dan emosional apabila memberikan barang mainan kepada kanak-kanak dari latar belakang miskin.

“Ibu bapa mereka tidak ada untuk menjaga mereka dan patung mainan tidak dapat menggantinya, tetapi ia adalah satu cara untuk membantu mereka meluahkan perasaan mereka, membantu mereka menjaga patung mainan, mungkin memberikan mereka kasih sayang pada saat mereka tidak mempunyai sesiapa yang memberikannya.” – AFP