GREECE, 22 JAN – Polis di Greece hari ini berkata bahawa mereka sedang menyiasat bagaimana sebuah patung kuno Greek berada dalam beg plastik hitam yang dibuang berhampiran tong sampah di bandar utara Thessaloniki.
Unit jenayah terancang berkata mereka sedang menyiasat ‘selepas seorang lelaki berusia 32 tahun pergi ke polis untuk menyerahkan sebuah patung yang kelihatan ditemui dalam beg hitam berhampiran tong sampah.’
Menurut penilaian pertama oleh perkhidmatan arkeologi, patung tanpa kepala itu berasal dari zaman Hellenistik (di antara 323 hingga 31 SM), kata kenyataan polis. Ia berukuran 80 hingga 25 sentimeter.
Ia akan dipindahkan kepada pasukan penyiasatan jenayah di utara Greece untuk ujian makmal, kemudian kepada perkhidmatan kebudayaan untuk penilaian dan pemuliharaan, tambah kenyataan itu.
Polis telah lama berdepan dengan masalah perniagaan haram barang antik disebabkan jumlah artifak di tapak-tapak di seluruh negara yang berasal dari zaman Yunani Purba.
Kerja-kerja jalan raya dan pembinaan di seluruh Greece masih menemui penemuan baharu dari era tersebut. – AFP