Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Patung Puteri Diana akan dibina di Istana Kensington

    LONDON, 29 Jan – Dua adik-beradik putera Britain, William dan Harry mengumumkan pembinaan patung kekal mendiang Puteri Diana di pekarangan Istana Kensington, tempat William, 34, kini tinggal bersama isterinya Kate, anak lelaki dan perempuannya, George dan Charlotte.

    Pembinaan patung Puteri Wales itu bertujuan mengabadikan kenangan mereka bersama bonda mereka.

    “Sudah 20 tahun sejak kematian bonda. Kami merasakan ia adalah masa yang tepat untuk membina sebuah patung kekal.

    “Pembinaan itu akan mengabadikan segala kenangan manis beliau di UK (United Kingdom) dan di seluruh dunia,” kata Putera William dan Putera Harry dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Istana Kensington.

    Sehubungan itu, sebuah suruhanjaya sudah ditubuhkan bagi mengumpul dana dan menyelia reka bentuk patung itu.

    Suruhanjaya itu diketuai oleh bekas kakitangan istana, Jamie Lowther Pinkerton, yang juga bapa pembaptisan Putera George, anak sulung Putera William.

    Yang turut dilantik menganggotai suruhanjaya itu ialah kakak Puteri Diana, Lady Sarah McCorquodale, yang juga Presiden Tabung Peringatan Puteri Wales, Diana.

    Selain itu, sahabat baik mendiang, Julia Samuel, yang juga ibu pembaptisan Putera George turut dilantik menganggotai suruhanjaya itu.

    Samuel dan mendiang Diana adalah penaung dan pengasas kepada Child Bereavement UK, yang kini diambil alih William selaku penaung diraja. – AFP/Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda