Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Patung tanpa wajah?

    KABUL – Di ibu negara Afghanistan, tingkap kedai mempamerkan gaun yang mempesonakan dan sut perkahwinan tiga helai dengan muka setiap patung pakaian ditutup.

    Polis moral telah mengarahkan kedai-kedai untuk menutup wajah-wajah patung dan menurunkan gambar-gambar model, menurut seorang penjual pakaian di Kabul.

    “Ia membuatkan paparan kelihatan agak pelik,” kata penjual berusia 22 tahun itu, tetapi ia ‘tidak menjejaskan jualan’.

    Apabila Taliban kembali berkuasa pada Ogos 2021, ia menerapkan tafsiran undang-undang Islam secara ketat, termasuk perintah larangan terhadap sebarang bentuk yang menggambarkan wajah manusia.

    “Persekitaran mestilah Islamik,” kata jurujual di Kabul, yang enggan dinamakan kerana takut akan diambil tindak balas.

    Gambar menunjukkan wajah patung ditutup dengan menggunakan gam plastik. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP

    Gaun malam wanita didatangkan dalam warna-warna cerah, sesetengah gaya membiarkan bahu terdedah atau dengan garis leher yang seksi hampir semuanya berkilauan dengan labuci.

    Pakaian itu dibeli untuk dipakai hanya di ruangan peribadi, di majlis perkahwinan atau majlis pertunangan yang diadakan secara berasingan antara lelaki dan wanita. Kepala patung yang memakai setiap pakaian tersebut dibalut dengan plastik, kerajang atau beg hitam.

    “Lama-kelamaan mungkin mereka akan mengarahkan supaya lengan patung itu juga ditutup dengan plastik,” ramal jurujual itu.

    Kedai-kedai lain mempamerkan pakaian perkahwinan tradisional Afghanistan dengan skirt penuh dan sulaman yang rumit.

    Kerajaan Taliban juga telah mengarahkan wanita untuk menutup aurat mereka sepenuhnya di khalayak ramai.

    Wanita yang menjalankan tugas beli-belah di daerah Kabul dilihat memakai jubah abaya dan menutup muka mereka dengan topeng perubatan.

    Sebelum ini, pada Januari 2022, pihak berkuasa agama di Herat memotong kepala patung sebagai tanda larangan terhadap penggambaran wajah manusia.

    Peraturan itu kini dikuatkuasakan di seluruh negara oleh pasukan dari Kementerian Penyebaran Kebajikan dan Pencegahan Maksiat. Dengan memakai jaket putih panjang, mereka mengunjungi kedai Kabul beberapa kali setiap minggu.

    Di pusat beli-belah bertingkat Kabul, kepala patung kebanyakannya ditutup dengan beg plastik atau dibalut dengan kerajang.

    “Di sesetengah kawasan, kunjungan rawak pada hari-hari tertentu, jadi (pekedai) menutup dan kemudian mendedahkan wajah patung tersebut,” kata Popalzai, seorang pekedai yang menggunakan nama samaran.

    “Tetapi di sini, terdapat antara tiga atau enam lelaki yang datang dua atau tiga kali seminggu. Mereka memeriksa dari jauh, mereka jauh lebih lembut dari sebelumnya,” tambah pekedai itu, yang mengalami pemerintahan pertama kerajaan Taliban antara 1996 dan 2001.

    Di pintu masuk kedainya, patung lelaki dengan pakaian Barat seperti seluar jeans atau sut tiga helai juga ditutup kepalanya kerana tidak digalakkan oleh pihak berkuasa
    Taliban walaupun semuanya memakai jaket. Salah satu daripadanya dikenakan cermin mata hitam.

    Namun, pelanggan dan penjual kelihatan tidak terpengaruh dengan figura yang menakutkan dan tanpa kepala itu.

    “Masih ada masalah yang lebih serius,” kata seorang lagi peniaga, merujuk keadaan ekonomi yang sukar dan sekatan ke atas pendidikan dan pekerjaan wanita.

    “Ini tidak begitu penting untuk rakyat Afghanistan,” katanya.

    “Kami terima sahaja keadaan ini.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda