Salam sejahtera buat para pembaca yang budiman. Pada pandangan abiskita selaku pembaca, wajarkah jikalau awda yang masih dalam fasa ‘bertunang’ dan hanya tinggal seminggu sahaja lagi hendak melangkah ke jinjang pelamin untuk bergelar suami isteri, namun entah tidak semana-mana menceritakan segala aib keluarga sendiri kepada bakal pasangan awda?
Kisah saya ini terjadi baru-baru ini, di mana ketika itu adik perempuan saya akan berkahwin dalam masa seminggu sahaja lagi.
Kami semua sibuk dengan persiapan. Malam itu, saya secara tidak sengaja terdengar perbualannya dengan tunangnya dari bilik sebelah. Adik aku menceritakan segala-galanya tentang keluarga kami – hal-hal yang sepatutnya disimpan.
Mula-mula, saya terkejut dan panas hati. Kenapa dia perlu buka semua aib keluarga? Apa yang diharapkannya dengan berbuat demikian? Dalam kepala saya ini, timbul macam-macam persoalan.
Sebagai abang, saya rasa adik saya mungkin bersikap terlalu terbuka. Saya tahu dia selalu percaya pada kejujuran dalam perhubungan. Tapi, ada benda yang lebih baik disimpan.

Menceritakan aib keluarga tidak semestinya akan membawa kebaikan. Bukan semua orang boleh menerima hal-hal sebegini dengan hati terbuka.
Saya risau kalau hal ni akan merosakkan hubungannya dengan bakal suaminya. Macam mana kalau pasangannya tidak boleh menerima dirinya atau berubah fikiran? Kahwin ini bukan perkara main-main. Perlu ada rasa hormat dan menjaga aib keluarga masing-masing.
Selepas beberapa ketika, saya mula fikir, patutkah saya cakap dengan adik tentang hal ni? Atau biarkan saja? Saya takut kalau campur tangan, ia akan merosakkan hubungan kami sebagai adik-beradik.
Akhirnya, saya memutuskan untuk bercakap dengan adik secara baik. Malam itu, selepas tunangnya pulang, saya berbisik ke telinganya, “Lain kali, tidak perlu menceritakan hal yang bukan-bukan kepada sesiapa termasuk hal keluarga.” Saya menasihatinya supaya lebih berhati-hati dalam menceritakan hal-hal peribadi keluarga.
Tuntasnya, pada pandangan rasional para pembaca sekalian, wajarkah untuk membuka semua cerita tentang keluarga? Atau lebih baik disimpan saja, jaga aib keluarga dan tunggu masa yang sesuai untuk cerita, kalau perlu?
Mikail
NASIHAT DANG MP
Terima kasih kepada saudara Mikail mengongsikan cerita ini. Sememangya apa yang adik perempuan lakukan amatlah tidak wajar. Kita tidak seharusnya membuka aib keluarga kita kepada siapa pun.
Barangkali dia teramat teruja dalam perkahwinannya itu. Dengan cara berkongsi cerita demikian pada pandangannya, dapat merapatkan hubungan antara dia dan pasangannya.
Namun sebenarnya, langkah begini boleh mendatangkan kerugian kelak dan lebih memalukan dirinya, dan juga keluarga barunya.
Haruslah Mikali tegah dirinya daripada terus bersikap terlalu terbuka dengan menasihatinya dengan baik.
Dia juga pasti tidak suka pasangannya pula menceritakan keburukan keluarga kepada orang lain.









