Bekas isteri pelakon Baim Wong iaitu Paula Verhoeven bertindak melaporkan hakim yang mengendalikan kes penceraiannya kepada Suruhanjaya Kehakiman Salemba, Jakarta Pusat.
Paula berkata, dia tidak berpuas hati dengan keputusan dibuat yang mensabitkan dia sebagai nusyuz selain menganggap hakim berkenaan melanggar etika kehakiman.
“Keputusan dibuat tidak mengikut keterangan yang dikemukakan dan jauh daripada fakta perbicaraan,” katanya memetik laporan Suara.com.
Tegas Paula, dia juga tidak pernah berlaku curang sepanjang perkahwinannya bersama Baim. Jelasnya tiada bukti jelas dikemukakan sepanjang perbicaraan yang mengatakan dia berlaku curang dengan lelaki lain.
“Ingin saya tegaskan tiada sebarang hubungan sulit dengan mana-mana lelaki sepanjang perkahwinan kami.
“Tiada bukti menunjukkan saya mempunyai hubungan sulit di mahkamah. Saya bertanggungjawab dengan semua kata-kata saya,” luahnya.
Tidak hanya itu, tindakan tersebut juga untuk membersihkan nama baiknya kerana tidak mahu anak-anaknya membaca kisah tersebut suatu hari nanti.
“Anak-anak saya masih kecil yang nantinya mereka boleh membaca kisah ibu mereka, saya berdiri sebagai seorang ibu yang menjaga anak-anaknya,” jelasnya.
Rabu lalu, Baim dan Paula sah bercerai talak satu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Dalam penghakiman yang dibuat, hakim Mahkamah Pengadilan Agama Jakarta Selatan memutuskan Paula bukan sahaja berlaku curang tetapi tidak menjaga kehormatan diri serta mengkhianati Baim.
Dia turut mensabitkan Paula sebagai nusyuz dan tidak berhak membuat sebarang tuntutan nafkah daripada Baim.
Bagaimanapun mahkamah menetapkan hak penjagaan dua anak lelaki mereka diberi sama rata iaitu bergilir-gilir menjaga mereka setiap dua minggu.
Untuk rekod Baim dan Paula mendirikan rumah tangga pada November 2018. Mereka memiliki dua orang cahaya mata iaitu Kiano, 3, dan Kenzo yang kini berusia dua tahun. – Agensi
