Paus gergasi terdampar di pantai Indonesia

KUPANG, INDONESIA, 22 JULAI – Ikan paus gergasi berukuran 23 meter terdampar di perairan Indonesia tetapi kurang jelas mengenai punca kematian mamalia itu, kata pegawai pemuliharaan, hari ini.

Penduduk yang ingin tahu mengenai kejadian itu mengerumuni pantai di bandar Kupang ketika pegawai bergelut untuk mengendalikan bangkai mamalia itu, yang pertama kali dilihat semalam.

Bagaimanapun, bangkai paus itu dihanyutkan semula ke laut hari ini, sebelum ia boleh dialihkan ke pantai bagi tujuan pemeriksaan.

“Ia mungkin paus biru tetapi kita belum pasti punca kematiannya. Ia mungkin sudah mati beberapa hari di kawasan lain,” kata Pegawai Pemuliharaan tempatan, Lidya Tesa Saputra.

Paus biru adalah haiwan terbesar dengan berat boleh mencapai antara 200 hingga 300 tan dengan panjang mencecah 32m.

Berat lidah paus biru sahaja menyamai seekor gajah dan dianggarkan mampu hidup antara 80 hingga 90 tahun, menurut National Geographic.

Tujuh paus pandu ditemui mati berhampiran Kupang, Oktober lalu.

Arus silang di pantai berbahaya kepada paus kerana mamalia itu boleh tersangkut di terumbu berhampiran pantai. – AFP

Gambar yang diambil pada 21 Julai menunjukkan para pegawai tempatan memeriksa bangkai paus dekat pesisir Kupang, Nusa Tenggara Timur. – AFP