Monday, May 12, 2025
29.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Paus Leo XIV seru gencatan senjata segera di Gaza

    VATICAN, 12 MEI – Paus Leo XIV kelmarin menyeru agar gencatan senjata segera dilaksanakan di Semenanjung Gaza, sambil melahirkan rasa dukacita yang mendalam terhadap situasi kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah itu, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

    Seruan itu dibuat dalam ucapan yang disampaikan semasa upacara keagamaan kelmarin dari pejabat beliau yang menghadap Dataran St. Peter di Vatican, selepas dilantik sebagai Paus pada Khamis lepas, menggantikan Paus Francis yang meninggal dunia pada 21 April.

    Paus Leo XIV menyentuh mengenai situasi di Gaza dan menyatakan bahawa beliau amat dukacita dengan apa yang sedang berlaku di sana.

    Beliau menyeru agar, “gencatan senjata segera dan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada orang awam yang sudah keletihan.”

    Paus Leo XIV turut menyampaikan mesej berkaitan perkembangan antarabangsa, termasuk memperingati ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia Kedua.

    Beliau berkata: “Perang ini meragut 60 juta nyawa. Seperti yang kerap ditegaskan oleh mendiang Paus Francis, kita kini berhadapan dengan gambaran dramatik Perang Dunia Ketiga yang berlaku secara berperingkat.”

    Paus Leo XIV turut menggesa para pemimpin dunia, dengan menyatakan: “Saya merayu kepada kuasa besar dunia, dan saya mengulangi rayuan yang tetap teguh: jangan sekali-kali berperang lagi.” – Bernama/Wafa

    Paus Leo XIV semasa dalam satu upacara di Basilika St. Peter, Vatican pada 8 Mei.  Beliau seru gencatan senjata segera di Gaza. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda