Pengarah Osman Ali meluahkan rasa kecewa apabila ada sesetengah pawagam menghentikan tayangan filem arahannya berjudul Telaga Suriram selepas dua minggu ia dilancarkan.
Menganggap ia satu perkara yang tidak wajar, Osman, 52, juga memberitahu filem tersebut masih berada dalam kedudukan 10 teratas pilihan penonton berdasarkan semakan yang dibuat.
Justeru dia berharap karya berkenaan akan terus mendapat slot tayangan agar memberi lebih peluang untuk penonton menyaksikannya.
“Masih ada penonton yang datang ke pawagam untuk memberikan sokongan terhadap filem ini. Saya harap ada lagi tayangannya dalam minggu ini tetapi semalam (Rabu) tidak ditayangkan di sesetengah pawagam.
“Saya kecewa kerana kalaulah diberi peluang sedikit masa lagi untuk meneruskan tayangan filem ini, mungkin mereka (penonton) sempat lagi untuk datang ke pawagam,” katanya ketika dihubungi mStar.
Osman bagaimanapun tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada pihak pawagam dan menghormati keputusan dibuat kerana akur akan tempoh penetapan wajib tayang hanya 14 hari.
Malah dia juga sedar masih ada banyak filem-filem baharu yang menunggu masuk panggung sehingga menyebabkan karya itu dihentikan tayangan.
“Saya faham ada banyak filem baru yang mahu ditayangkan jadi pihak pawagam memberikan laluan.
“Semuanya atas budi bicara pihak pawagam untuk meneruskan tayangan sekiranya filem tersebut mendapat sambutan baik. Saya tidak salahkan mereka cuma secara peribadi berharap sekiranya dapat tayangan lanjutan, saya bersyukur,” ujarnya. – Agensi
