Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jan – Pawagam One Cineplex yang sudah lama dinantikan oleh para peminat panggung wayang, kelmarin, telah membuka pintunya untuk kunjungan orang ramai dengan tayangan filem pertamanya ‘Glass’ dan ‘The Kid Who Would be King’.
Pembukaan pawagam yang terletak di gedung membeli belah terbaharu di negara ini, di Kampung Sungai Hanching turut dimeriahkan oleh para media tempatan yang diundang untuk melihat sendiri keistimewaan pawagam baharu tersebut.
Berbeza dengan pawagam lain yang ada di negara ini, One Cineplex menampilkan sistem bunyi berdefinisi tinggi, Dolby Atmos yang memberikan kelainan dalam penghasilan bunyi yang boleh anda rasai semasa menonton wayang.
Satu lagi keistimewaan unik yang ditawarkan kepada para pelanggan di pawagam itu ialah laluan khas yang direka khusus bagi kegunaan orang tua dan orang kelainan upaya di dalam pawagam tersebut.
