Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Paya sudah kering’: Penggembala berpindah-randah mencari air

    CHIBAYISH, IRAQ – Seperti bapanya, penggembala kerbau Iraq, Watheq Abbas melepaskan haiwannya untuk meragut rumput di tanah lembap selatan Iraq, tetapi dengan kemarau berterusan mengecutkan tanah paya di mana haiwan makan dan menghapuskan sumber kehidupan kawanan itu, cara hidupnya berusia ribuan tahun itu kini terancam.

    “Tiada air lagi, paya sudah kering,” kata Abbas, 27 tahun, yang telah membawa kerbaunya ke padang rumput di tanah paya sejak 15 tahun lalu.

    “Pada masa lalu, kemarau akan berlaku selama satu atau dua tahun, dan air akan kembali dan paya akan kembali seperti sedia kala. Kini kami telah kehilangan air selama lima tahun,” beritahu penggembala kerbau itu kepada AFP.

    Tahun ini merupakan antara yang paling kering sejak 1933, kata pihak berkuasa, dengan suhu musim panas melebihi 50 darjah Celsius di seluruh Iraq, yang amat terdedah kepada kesan perubahan iklim.

    Tanah paya yang disenaraikan oleh UNESCO di selatan negara itu, di mana menurut tradisi ia merupakan tempat terletaknya Taman Eden, telah mengekalkan tamadun sejak zaman Mesopotamia purba.

    Pemandangan udara menunjukkan paya di Chibayish yang dilanda kemarau di selatan wilayah Dhi Qar. – AFP
    Pemandangan udara menunjukkan kerbau air meminum air dari paya di Chibayish. – AFP
    Sebuah perahu tradisional terdampar di paya yang kering di Chibayish. – AFP
    Kanak-kanak melihat ibu mereka membuat roti di ladang di paya Chibayish. – AFP
    Seorang petani berjalan di tanah kering yang terdedah akibat air surut di paya Chibayish. – AFP
    Pemandangan udara menunjukkan kerbau berada dalam kandang di sebuah ladang. – AFP

    Namun musim kemarau yang tidak henti-henti telah menjejaskan dan mengubah laluan air penting itu menjadi tanah tandus retak, melenyapkan mensiang yang pernah menguasai landskap.

    Abbas dan puluhan ribu penduduk Iraq sepertinya yang bergantung pada paya, seperti penggembala ternakan, pemburu dan nelayan, hanya mampu melihat tanpa berbuat apa-apa apabila sumber mata pencarian mereka hilang.

    Di paya Chibayish, air yang sukar didapati masih memenuhi beberapa saluran, yang telah diperdalam oleh pihak berkuasa supaya haiwan seperti 25 kerbau milik Abbas dapat menyejukkan diri.

    Selama bertahun-tahun, dia dan haiwan ternakannya telah berpindah-randah, menuju ke mana-mana tempat yang masih ada air, di Chibayish atau di wilayah jiran Missan.

    BERGELUT UNTUK AIR

    Namun ia telah menjadi satu usaha yang semakin mencabar. Tahun lalu, tujuh haiwannya mati.

    Baru-baru ini, Abbas kehilangan seekor lagi kerbaunya yang minum air payau yang bertakung yang menurutnya telah ‘meracuni haiwan itu.’

    Kemarau telah berpunca daripada hujan yang kurang dan suhu yang melambung tinggi yang meningkatkan penyejatan.

    Tetapi empangan hulu yang dibina di Turkiye dan di Iran secara mendadak telah mengurangkan aliran sungai Tigris dan Euphrates di Iraq dan memburukkan lagi kesan perubahan iklim.

    Dengan kerajaan Iraq terpaksa mencatu bekalan air untuk memastikan 46 juta penduduk negara itu cukup minum dan memenuhi keperluan pertanian, paya-paya nampaknya kurang diberikan keutamaan.

    “Terdapat perebutan untuk mendapatkan air di Iraq,” kata aktivis alam sekitar Jassim al-Assadi, dari NGO Nature Iraq.

    Beliau adalah antara sekumpulan aktivis dan jurutera yang dua dekad lalu berusaha untuk membanjiri semula tanah paya seluas 5,600 kilometer persegi.

    Ia adalah sebahagian daripada kawasan yang telah dikeringkan oleh kerajaan Saddam Hussein pada 1990an untuk mengusir pemberontak Islam Syiah yang berlindung di sana.

    Hari ini, hanya 800 kilometer persegi daripada paya ditenggelami air, kata Assadi, dengan ramai penduduk meninggalkan rantau kering itu.

    Ekosistem paya juga mengalami kerosakan yang tidak dapat dipulihkan, dengan penyu, memerang dan burung migrasi menjadi mangsa.

    “Dulu kami mempunyai 48 spesies ikan tetapi kini hanya tinggal empat, dan daripada 140 spesies burung liar kini berkurangan kepada 22,” kata doktor haiwan Wissam al-Assadi.

    ‘KAMI TIDAK MEMPUNYAI APA-APA LAGI’

    Dengan kerjasama NGO pertanian dan doktor haiwan Perancis, dia membantu merawat kerbau, yang pada musim panas biasanya perlu berada di dalam air selama 14 jam sehari dan minum berpuluh-puluh liter untuk mengelakkan kelesuan haba.

    Tetapi aliran air yang berkurangan bermakna ‘air tidak diperbaharui, dan tahap kemasinan dan pencemaran meningkat,’ jelas doktor haiwan itu.

    “Haiwan yang dahulunya mempunyai berat 600 kilo kini menjadi 400 atau 300 kilo, sistem imun mereka lemah dan penyakit bertambah,” tambahnya.

    Kerbau air Mesopotamia kini menghasilkan satu pertiga daripada pengeluaran susu biasa mereka, yang digunakan untuk membuat keju dan geymar, krim beku pekat yang merupakan sajian sarapan pagi yang popular di Iraq.

    Laporan PBB yang dikeluarkan pada Julai memberi amaran bahawa ‘tanpa langkah pemuliharaan segera,’ populasi kerbau ‘berisiko pupus.’

    Memetik kekurangan air sebagai punca, ia berkata bilangan haiwan itu di paya telah merosot daripada 309,000 ekor pada 1974 kepada hanya 40,000 pada 2000.

    Towayeh Faraj, 50, yang tinggal di perkampungan desa Hassja di Chibayish sejak dua tahun lalu berkata, dia sudah tiga dekad meredah paya untuk mencari air untuk kerbaunya.

    “Jika ternakan itu masih hidup, begitu juga kami,” katanya. “Kami tidak mempunyai apa-apa lagi: tiada gaji, tiada pekerjaan, tiada sokongan kerajaan.”

    Dia mempunyai 30 ekor haiwan, berkurang daripada 120 ekor apabila dia memulakan kerjayanya, menjual banyak haiwan satu demi satu untuk membeli makanan ternakan untuk baki haiwan yang tinggal.

    Faraj mewarisi pekerjaan itu daripada bapanya, tetapi tradisi keluarga mungkin berakhir bersamanya. Anak sulungnya daripada 16 anak bekerja untuk sebuah syarikat minyak China, dan seorang lagi pemandu bas mini. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda