Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Okt – Politeknik Brunei (PB), kelmarin, telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.
Acara berkenaan telah diadakan secara serentak di Surau Kampus Utama PB, Jalan Ong Sum Ping dan Kampus Sekolah Sains dan Kejuruteraan di Lumut.
Di Kampus Utama PB, Ong Sum Ping, hadir selaku tetamu khas ialah Pemangku Penolong Pengarah PB, Awang Alias bin Haji Abu Bakar.
Majlis telah dimulakan dengan Solat Sunat Hajat yang diimamkan oleh Ketua Jabatan Pengajian Am (Jabatan Pendidikan Islam dan Pengajian Melayu Islam Beraja), Haji Jaafar bin Haji Johari, diikuti dengan bacaan tahlil dan Doa Kesyukuran.

Manakala itu, bacaan Surah Al-Waqi’ah dan Surah Al-Mulk pula telah dipimpin oleh Haji Mohd Alisanusi bin Haji Salim.
Majlis Doa Kesyukuran berkenaan adalah sebagai tanda kesyukuran kepada Illahi dan memohon doa ke hadrat Allah S.W.T supaya Kebawah Duli Yang Maha Mulia dilanjutkan usia dan kekal qarar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan hidayah dan inayah Allah S.W.T, seterusnya memohon kesejahteraan raja, keselamatan rakyat, keberkatan dan keamanan negara.
Ia juga dihasratkan supaya dikabulkan segala hajat Baginda dalam memerintah Negara Brunei Darussalam ke arah kemakmuran, keamanan, kesejahteraan dan kemajuan serta sebagai satu usaha dalam merealisasikan wawasan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.