PB anjur program diploma bidang perubatan kardiovaskular

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Dengan matlamat untuk memenuhi ke-perluan Unit Kardiologi bagi menghasilkan juruteknik kardiovaskular dan jururawat kardiovaskular yang berkelayakan tinggi untuk rawatan pesakit-pesakit di Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Politeknik Brunei (PB), Kementerian Pendidikan bagi kerjasama dalam bidang perubatan kardiovaskular.

Melalui MoU itu, Kementerian Kesihatan dan PB akan memupuk kerjasama dalam pembentuk serta penyelenggaraan program-program dalam bidang teknologi kardiovaskular dan kejururawatan kardiovaskular.

Di samping itu, kedua-dua pihak juga akan mengenal pasti peluang-peluang bagi fakulti dan kakitangan masing-masing untuk mengikuti program pengajian atau latihan jangka pendek di institusi masing-masing. Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Unit Kardiologi, Dr Mohd Ezam bin Emran dalam kata alu-aluannya semasa Majlis Penandatanganan MoU antara Kementerian Kesihatan dan PB, Kementerian Pendidikan bagi Kerjasama dalam Bidang Perubatan Kardiovaskular yang berlangsung di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohamad Salleh selaku pengerusi Lembaga Pengelola PB; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh, ketua-ketua pengarah, para pengarah, ketua jabatan dan bahagian serta jemputan khas.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika menyaksikan penandatangan MoU antara Kementerian Kesihatan dan Politeknik Brunei.

Dr Mohd Ezam menjelaskan lagi bahawa Program Teknologi Kardiovaskular adalah program Diploma Tahap 5 yang setaraf dengan Higher National Diploma (HND) di mana program tiga tahun itu akan bermula pada Januari 2021 dan mengandungi pelbagai modul dalam bidang perubatan, anatomi, fisiologi dan dipenuhi dengan sesi praktikal.

“Pelajar-pelajar akan dilatih untuk melakukan ujian-ujian seperti elektrokardiogram, stress test, holter atau rakaman irama jantung, ekokardiografi dan sebagainya,” jelasnya lagi.
Beliau berkata bahawa menerusi program itu, pelajar-pelajar akan memperoleh pengalaman berharga melalui penempatan klinikal awal bermula dari semester pertama di mana penempatan itu akan dilakukan di hospital-hospital kerajaan dan juga pusat jantung Gleneagles JPMC.

Program itu diharap akan memberikan kesediaan sebelum menempuh alam pekerjaan dalam bidang juruteknologi kardiovaskular yang sangat teknikal dan mencabar serta berbaloi.

Dr Mohd Ezam turut menyatakan bahawa permohonan untuk mengikuti program berkenaan sedang giat dijalankan melalui HECAS dan akan berterusan sehingga 10 September dan sambutan setakat ini, adalah sangat baik serta di luar jangkaan.

Di samping itu, Program Kejuru-rawatan Kardiovaskular yang juga merupakan program Diploma Tahap 5 dirancang untuk bermula pada Julai 2021 di mana program selama dua tahun itu, akan merangkumi pelbagai aspek kejururawatan kardiovaskular termasuk kejururawatan intensif, kejururawatan tanggungan tinggi dan kejururawatan pembedahan jantung.

Majlis kemudian menyaksikan penandatangan MoU di mana Kementerian Kesihatan diwakili oleh Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, Kementerian Kesihatan, Dayang Sufinah binti Haji Serudin dan Dr Mohd Ezam manakala itu, PB diwakili oleh Pemangku Pengarah, Awang Alias bin Haji Abu Bakar dan Ketua Sekolah Sains Kesihatan, Dayang Armah binti Tengah.

Penandatanganan MoU berkenaan disaksikan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah.