Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PB jalin kerjasama pendidikan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Dengan matlamat untuk menyediakan peluang bagi pembelajaran global dan akademik khususnya bagi pelajar dan ahli-ahli fakulti menerusi pertukaran serta kerjasama, Politeknik Brunei (PB) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Poltekkes Kemenkes Yogyakarta, Indonesia dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Malaysia.

    Majlis penandatanganan MoU berkenaan berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatangan MoU berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad. Bagi MoU antara PB dan Poltekkes Kemenkes Yogyakarta, menandatangani bagi pihak PB ialah pengarahnya, Denis Ho Mun Tai dengan saksi, Penolong Pengarah, Awang Alias bin Haji Abu Bakar dan bagi pihak Poltekkes Kemenkes Yogyakarta diwakili oleh Pengarah Poltekkes Kemenkes Yogyakarta, Profesor Madya Joko Susilo dengan saksi, Naib Pengarah Poltekkes Kemenkes Yogyakarta, Penolong Profesor Dr Iswanto. Poltekkes Kemenkes Yogyakarta ditubuhkan dengan menggabungkan enam buah akademi kesihatan sejak 1983 di mana institusi berkenaan menawarkan pendidikan tinggi bagi pekerja-pekerja kesihatan dengan Diploma Peringkat 3 atau 4 atau mengikut kerjaya.

    MoU itu berasaskan kepercayaan bersama bagi manfaat dan pembangunan kedua-dua buah institusi serta juga untuk mempromosikan kefahaman dan muhibah antarabangsa.

    Menerusi MoU berkenaan, kedua-dua buah institusi akan menubuhkan kerjasama dalam pengajaran, sains, pengurusan dan kebudayaan di mana ia akan menyumbang kepada pembangunan dan penyatuan persahabatan di antara PB dan Poltekkes Kemenkes Yogyakarta berasaskan kesaksamaan serta manfaat bersama. Sementara itu, MoU antara PB dan UNITEN, Malaysia menyaksikan Denis Ho Mun Tai menandatangani bagi pihak PB dan UNITEN diwakili Ketua Pegawai Wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB), Brunei Darussalam, Haji Suryono bin Haji Darnor.

    UNITEN ialah sebuah universiti swasta di Malaysia yang dimiliki sepenuhnya oleh TNB yang menawarkan program akademik dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat, pengurusan perniagaan dan bidang-bidang yang berkaitan.

    MoU itu bermatlamat untuk membangunkan dan mengukuhkan lagi hubungan di antara kedua-dua buah organisasi di mana ia diharap akan menyediakan peluang bagi pembelajaran global serta pengajian akademik untuk para pelajar dan ahli-ahli fakulti menerusi pertukaran serta kerjasama.

    Denis Ho Mun Tai dan Profesor Madya Joko Susilo bertukar-tukar dokumen persefahaman dengan disaksikan oleh Dr Haji Azman. – Gambar oleh Politeknik Brunei
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda