Wednesday, March 12, 2025
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PB kibarkan bendera rai HK-41

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Politeknik Brunei (PB) juga tidak ketinggalan turut mengadakan acara Menaikkan Bendera Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41 Peringkat Politeknik Brunei yang berlangsung di perkarangan hadapan bangunan Politeknik Brunei pagi tadi.

    Acara berkenaan dianjurkan oleh Majlis Pewakilan Pelajar Politeknik Brunei dengan usaha sama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pasukan Tentera Kadet Politeknik Brunei.

    Hadir selaku tetamu kehormat adalah Pemangku Pengarah, PB Pengiran Dr Saiful Baharin bin Pengiran Haji Duraman yang menyerahkan bendera Negara Brunei Darussalam kepada 96105 SJN KT Nasroy Efesus Petrus Tikom, Kadet Tentera Politeknik Brunei untuk dikibarkan.

    Hadir sama ke acara berkenaan adalah warga PB yang terdiri daripada ketua-ketua bahagian, ketua-ketua sekolah, pegawai-pegawai, kakitangan dan para pelajar.

    Juga turut hadir adalah dua jurulatih Kadet Tentera 17163 PW2 Athraba bin Haji Buntan dan 16753 SJN Md Noor bin Haji Nordin.

    Upacara menaikkan bendera diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan dan dimeriahkan lagi dengan nyanyian koir lagu patriotik Berkibarlah Bendera.

    Terdahulu, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh ahli Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2024/2025, Mohammad Hafidzzuddin Bin Mohd Ridzuan.

    Acara berkenaan diadakan dengan tujuan untuk memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41 dengan meningkatkan penghayatan terhadap kemerdekaan tanah air serta mengukuhkan semangat patriotik dan cintakan negara.

    Pengiran Dr Saiful Baharin menyerahkan bendera negara kepada 96105 SJN KT Nasroy Efesus Petrus Tikom untuk dikibarkan.
    Upacara menaikkan bendera negara di perkarangan PB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda