Monday, May 20, 2024
30.8 C
Brunei

    -

    PB komited tingkat kebolehpasaran graduan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Sebuah kejayaan itu sukar untuk diukur sepenuhnya dengan pencapaian akademik semata-mata.

    Apa yang pasti bagaimana pembawaan diri kita terhadap sesuatu amanah dan tanggungjawab yang diberikan itu memainkan peranan terbesar untuk menentukan prestasi masing-masing pada akhirnya.

    Sehubungan itu, Politeknik Brunei (PB) sekali lagi melakar detik sejarahnya apabila seramai 768 graduan menerima sijil pada Majlis Konvokesyen PB ke-9 Tahun 2023 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

    Hal ini sekali gus membuktikan komitmen PB dalam membekalkan sumber tenaga manusia yang berkemahiran tinggi untuk sama-sama menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Rahsia kejayaan bermula dari diri

    Memiliki matlamat menyeluruh untuk menjadi seorang yang berkerjaya dalam sumber manusia secara profesional dan mempunyai pengalaman, itulah pencetus kejayaan salah seorang graduan Diploma in Business Studies (Human Resource Management), Awang Nur Daniel bin Abdullah Masri semasa berkesempatan ditemui penulis pada majlis konvokesyen tersebut.

    Awang Nur Daniel menjelaskan pengurusan masa pembelajaran yang teratur itu suatu yang diutamakan sewaktu pengajiannya. – Gambar Nurdiyanah R.
    Dayang Nur Filzahtul Ain selaku salah seorang graduan Diploma in Mechanical Engineering berkata kecintaan terhadap dunia kereta telah menjentik hatinya untuk memohon jurusan berkenaan di PB beberapa tahun lalu. – Gambar Nurdiyanah R.
    Pengiran Mohammad Nazrul Azmi semasa ditemu bual oleh pihak media ketika majlis berkenaan. – Gambar Nurdiyanah R.
    Awang Mohamad Abdul Azim berkata antara kemahiran asas yang telah dipelajarinya sewak- tu menuntut di PB merangkumi kemahiran dalam perakaunan dan pengauditan yang sememangnya berguna di mana-mana sektor pekerjaan. – Gambar Nurdiyanah R.

    Human Resource Management ini suatu bidang yang saya minati dan tertarik untuk menerokainya selama ini lebih-lebih lagi saya memiliki latar belakang keluarga dalam bidang ini terutamanya ayah saya. Dari situlah saya merasa terinspirasi untuk lebih mendalami bidang ini sehingga ke detik ini,” ujarnya lagi yang turut dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Pelajar Terbaik pada Majlis Anugerah Pelajar PB pada tahun ini.

    Berkongsi tip bagaimana pembahagian masa antara pembelajaran, peribadi dan keluarga sepanjang menempuhi perjuangan sebagai seorang pelajar di PB, Awang Nur Daniel menjelaskan pengurusan masa pembelajaran yang teratur itu suatu yang diutamakan selama ini di mana secara rutin sewaktu musim pengajian, beliau memanfaatkan masanya dengan memberikan tumpuan kepada pembelajaran pada waktu pagi dan petang termasuklah dalam menyelesaikan segala tugasan yang diberikan.

    Namun apabila pulang ke rumah, beliau akan mengisi masa terluang dengan bersantai bersama ahli keluarga.

    Kini Awang Nur Daniel, yang sudah mendapat pekerjaan hampir dua bulan dalam bidang sumber manusia di bawah salah sebuah syarikat tempat beliau melaksanakan penempatan latihan pekerjaan semasa mengikuti pengajian di PB, turut merakamkan kesyukuran atas rezeki berkenaan di mana dirinya dapat mengaplikasi segala pembelajaran asas berkenaan ke alam pekerjaan sebenar.

    Minat kereta sejak kecil jadi pendorong

    Mungkin ada yang merasa janggal melihat kaum hawa bekerja sebagai mekanik di bengkel, bergelumang dengan minyak enjin, kotoran, habuk dan sebagainya yang biasanya di dominasi oleh golongan lelaki. Ditambah stigma masyarakat golongan perempuan tidak mempunyai pemahaman mendalam mengenai kereta, agak mustahil mereka menceburkan diri dalam bidang ini.

    Namun semua itu tidak sama dengan luahan pandangan salah seorang graduan Diploma in Mechanical Engineering, Dayang Nur Filzahtul Ain binti Haji Hambrin ketika berkongsi santai bersama penulis bahawa kerana kecintaan terhadap dunia kereta telah menjentik hatinya untuk memohon jurusan kejuruteraan mekanikal di PB beberapa tahun lalu.

    “Segala rezeki pembelajaran di PB ini sememangnya bagaikan menyemarakkan potensi dirinya untuk terus mendalami kemahiran dan kepakaran lebih terperinci dalam sistem kenderaan dan berguna untuk perancangan pada masa akan datang seperti menjalankan perniagaan atau perusahaan sampingan jika ada rezeki suatu hari nanti,” ujarnya.

    Dengan adanya peluang mengikuti penempatan latihan pekerjaan di Pangkalan Tentera Udara Rimba, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) semasa di PB, Dayang Nur Filzahtul berkata segala pengalaman itu memberikan makna yang begitu besar lebih-lebih lagi dalam mempraktikkan apa yang dipelajari di kampus itu menjadi sebuah realiti yang sukar diperolehi di mana-mana.

    Membuka minda lebih luas

    Sejenak apabila mengimbas kembali janji salah seorang graduan pemegang sijil Diploma in Architecture, Pengiran Mohammad Nazrul Azmi bin Pengiran Lademan mengongsikan kepada penulis bahawa sebelum melangkah meneruskan pengajian di PB, dirinya memiliki impian untuk menjadi seorang ejen hartanah. Dia turut merakamkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana peluang yang diberikan selama menuntut di PB tidaklah sia-sia.

    “Daripada pelajar bidang perniagaan dan kemudian memilih jurusan architecture ini sememangnya membuka minda saya dengan lebih meluas yang bukan hanya semata-mata sebagai pengetahuan ilmu dari segi membina dan mereka bentuk atau merangka pelan sesebuah bangunan seperti rumah, tetapi juga kami didedahkan dengan hal ehwal aspek pengurusan dalam pentadbiran, masa dan juga sebagai satu kumpulan.

    “Semua pembelajaran yang diperolehi itu sememangnya menjadi asas utama untuk bekalan masa depan seseorang pelajar agar mampu menguasai dari awal proses merangka pelan sehingga terbina sebuah struktur bangunan yang telah dirancang,” tambahnya.

    Sahut pembelajaran penuh iltizam

    Sementara itu, salah seorang graduan dalam jurusan Diploma in Business Accounting and Finance, Awang Mohamad Abdul Azim bin Mohamad Shariff turut berkesempatan mengongsikan sepanjang mengikuti di PB, antara kemahiran asas yang telah dipelajari ialah merangkumi kemahiran dalam perakaunan dan pengauditan yang sememangnya berguna di mana-mana sektor pekerjaan di luar sana.

    Di samping itu, beliau bersama rakan-rakan seperjuanganya turut menyahut cabaran dalam menyelesaikan projek tahun akhir mereka dengan menghasilkan sebuah projek keusahawanan berjudul Baggacy iaitu sentuhan karya produk tote bags penuh kreatif, inovasi serta bercirikan mesra alam bagi semua pengguna.

    “Rezeki ada di mana-mana namun setelah menamatkan pengajian ini, saya berhasrat untuk meneruskannya ke peringkat lebih tinggi sebelum meniti alam pekerjaan yang sebenarnya,” ucapnya di akhir pertemuan bersama Media Permata yang sekali gus merakamkan penghargaan yang tidak terhingga atas sokongan tulus kedua-dua ibu bapa dan kerjasama rakan-rakan seperjuangan selama ini dan tidak dilupakan juga golongan tenaga pengajar yang bertungkus lumus melahirkan graduan PB sehingga detik
    ini.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lai Ching-te dilantik sebagai presiden Taiwan

    TAIPEI, 20 MEI - Lai Ching-te mengangkat sumpah sebagai presiden baharu Taiwan pada Isnin, memulakan penggal di mana beliau dijangka meneruskan dasar kemerdekaan de...