Friday, October 25, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PB lahirkan graduan berkemahiran tinggi

    Oleh Nurhidayah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Kadar pelajar Politeknik Brunei (PB) yang berjaya menamatkan pengajian bagi Kelas 2024 adalah sebanyak 97.4 peratus, menunjukkan peningkatan dari tahun sebelumnya.

    Begitu juga, beberapa perkembangan dan pencapaian PB sejak Majlis Konvokesyen PB tahun lalu iaitu bagi semasa Kelas 2023 di mana hasil bagi kadar graduan mendapat pekerjaan iaitu enam bulan selepas konvokesyen tersebut adalah 63.2 peratus. Manakala graduan-graduan yang menyambung pembelajaran ke peringkat tinggi bagi Kelas 2023 adalah 32.5 peratus.

    Melalui pencapaian-pencapaian ini, PB terus berjaya untuk kekal sebagai salah satu pembekal sumber tenaga manusia bagi industri sektor awam dan swasta yang berkualiti, berkemahiran tinggi dan berdaya saing.

    Pencapaian positif itu antara yang dikongsi oleh Pemangku Pengarah PB, Lim Kian Boon semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Konvokesyen PB ke-10 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

    Selain itu, beliau turut menambah hasil daripada Kajian Kepuasan Majikan bagi Kelas 2022 yang bekerja di sektor awam dan juga swasta, 96 peratus daripada majikan telah memberi maklum balas positif terhadap mutu pekerjaan dan prestasi graduan PB 12 bulan selepas mendapatkan pekerjaan.

    Lim Kian Boon semasa menyampaikan ucapan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara pelajar yang hadir pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Pada masa yang sama, pencapaian itu juga mencerminkan persiapan daripada pihak PB dalam membekalkan para graduan dengan kemahiran-kemahiran serta kompetensi yang dikehendaki di alam pekerjaan.

    Terdahulu dalam ucapan berkenaan, Lim Kian Boon mengongsikan semenjak penubuhan PB pada tahun 2012, institusi ini telah berjaya menghasilkan seramai 5,543 orang graduan dalam pelbagai program Diploma, terutamanya dalam bidang Perdagangan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sains dan Kejuruteraan, Sains Kesihatan dan Petrokimia.

    Jelasnya, pada majlis konvokesyen pada tahun ini, seramai 882 orang graduan telah berjaya menamatkan pengajian mereka dalam 32 buah program dari lima buah Sekolah di PB. Sembilan buah program adalah keluaran kohort pertama, iaitu satu program dari Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi; dua program dari Sekolah Sains Kesihatan; dan enam program dari Sekolah Petrokimia.

    Selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa Kerja Majlis Konvokesyen PB ke-10, Lim Kian Boon turut antaranya mengongsikan demi memainkan peranan aktif dalam mendukung Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2023-2027, PB sedang giat mensejajarkan beberapa inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Lima Tahun PB 2021-2025 dengan Pelan Strategik Kementerian Pendidikan bagi mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

    “Pada tahun ini, PB telah berjaya melancarkan Projek Tenaga Lestari dan Makerspace.

    Projek Tenaga Lestari adalah sebuah inisiatif yang dilaksanakan oleh Sekolah Sains dan Kejuruteraan dengan sokongan dari Jabatan Perkhidmatan Elektrik.”

    “Ianya merupakan salah satu langkah yang diambil untuk membangun infrastruktur bagi sebuah Fasiliti Pembelajaran Autentik yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di PB,” jelas beliau.

    Di samping Projek Tenaga Lestari, tambahnya, PB juga memperkenalkan Projek Makerspace iaitu satu ruang fizikal yang menyediakan akses kepada peralatan dalam format fleksibel dan bertindak balas kepada minat dan tahap kemahiran pengguna.

    Ruang ini membolehkan pengguna membuat tugasan projek dengan cara yang kreatif dan inovatif dengan objektif untuk meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti, meningkatkan efisiensi serta pembangunan pengalaman dan pembelajaran sepanjang hayat.

    Lim Kian Boon turut menyatakan bagi memastikan PB kekal relevan dalam membangun sektor hospitaliti, PB juga telah berkolaborasi bersama rakan-rakan industri hospitaliti.

    Usaha, bimbingan dan kerjasama di antara PB dengan sembilan buah syarikat di sektor hospitaliti telah berjaya membangun program Diploma Tahap 5 Apprenticeship in Hospitality and Management Operations.

    Program ini menggunakan Model Dual-System Apprenticeship yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan kompetensi graduan melalui latihan praktikal On-the-Job Training (OJT).

    Di akhir ucapan, Lim Kian Boon antaranya menaruh harapan agar semua graduan yang diraikan akan terus berjaya dan sentiasa bersedia untuk menabur bakti mereka demi kejayaan bangsa dan negara kita dan seterusnya menjadikan Wawasan Brunei 2035 satu realiti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda