Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Para pelajar baharu Politeknik Brunei (PB) diseru untuk memanfaatkan peluang istimewa bagi mencapai kecemerlangan dalam latihan dan pembelajaran serta juga pembangunan diri dan daya tahan dalam mengorak langkah ke arah menjadi sumber manusia yang berkemahiran tinggi untuk menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.
Seruan itu dibuat oleh Pemangku Pengarah PB, Pengiran Dr Saiful Baharin bin Pengiran Duraman dalam ucapannya di Majlis Minggu Orientasi Pelajar PB Pengambilan ke-15, Sesi Julai 2025, Tahun Akademik 2025/2026 yang berlangsung di Setia Point, Berakas, hari ini.
Pada acara tersebut, seramai 807 pelajar baharu terdiri daripada 454 pelajar perempuan dan 353 pelajar lelaki menyertai minggu orientasi selama empat hari, bermula hari ini hingga 12 Julai.
Pengiran Dr Saiful Baharin turut mengumumkan PB telah melancarkan Program Penempatan Kerja Antarabangsa bulan ini dengan tujuan untuk menyediakan para pelajar peluang untuk memperoleh pendedahan global dan bersaing di peringkat serantau.
Tambahnya, inisiatif tersebut bermatlamat untuk melengkapkan para pelajar dengan pengalaman antarabangsa berharga, meningkatkan daya saing serta mempersiapkan mereka untuk maju dalam dunia yang semakin saling berkaitan.
Beliau turut menggalakkan para pelajar untuk membangunkan diri mereka dan kekal kompetitif bukan sahaja di dalam negara tetapi juga serantau.
Usaha bersepadu oleh semua pihak di PB terutamanya para pelajar, adalah amat mustahak untuk memastikan PB mencapai visinya, ‘Menjana Graduan Inovatif dan Siaga-Masa Depan’ serta juga misinya, ‘Untuk Menyampaikan Latihan dan Pendidikan Berkualiti Dipacu Industri’.
Pada masa yang sama, para pelajar juga harus menanamkan nilai utama institusi, Tafawwuq, iaitu kecemerlangan, ke dalam semangat dan keperibadian mereka di mana mereka cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dari segi integriti, disiplin dan khidmat bakti.
Majlis seterusnya menyaksikan bacaan lafaz ikrar oleh para pelajar baharu yang diketuai oleh pelajar Diploma Tahap 5 dalam Sains Kesihatan (Program Terapi Kebersihan Pergigian), Sekolah Sains Kesihatan, PB, Awang Muhammad Ali Zahrin @ Ismail bin Alisam.
Seramai 22 pelajar pengambilan ke-15 yang terpilih untuk mendahului bacaan lafaz ikrar bagi pengambilan pelajar baharu berkenaan.